Nikah 'online' jadi kes istimewa kerana PKP

Dr Harlina menjawab soalan moderator pada Wacana Siri ke-167 bertajuk ‘PKP: Nikah Online Pulak Dah...’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian hari ini.
Dr Harlina menjawab soalan moderator pada Wacana Siri ke-167 bertajuk ‘PKP: Nikah Online Pulak Dah...’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Nikah secara dalam talian atau online di Malaysia disifatkan sebagai kes istimewa susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak mengizinkan semua orang untuk berkumpul.

Pakar Kekeluargaan dan Pengarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj berkata, kes itu perlu dilihat dalam konteks tempoh masa sekarang dan situasi semasa.

“Ada pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin, mereka sudah bertunang dan tarikh resepsi juga sudah ditetapkan tetapi PKP kita tak tahu bila akan berakhir kerana mungkin akan ada PKP fasa keempat.

“Dalam situasi ini, kita kena faham semua pasangan ini telah bersedia tetapi ditakdirkan ALLAH SWT berlaku keadaan kita tidak diizinkan berkumpul kerana sebelum ini dilaporkan juga berlaku sebaran wabak koronavirus (Covid-19) kluster majlis perkahwinan.

“Jadi, akad nikah secara biasa tidak dapat dilakukan,” katanya selaku panelis pada Wacana Siri ke-167 bertajuk ‘PKP: Nikah Online Pulak Dah...’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian di sini hari ini.

Wacana yang dikendalikan Moderator, Azlan Shah Nabees Khan itu turut menampilkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail sebagai panelis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun majlis akad nikah dijalankan secara dalam talian, perkara asas atau rukun nikah tetap sama cuma kaedah sahaja yang berbeza.

Namun, beliau secara peribadi tidak menggalakkan nikah dalam talian sebagai kebiasaan baharu kerana permulaan perkahwinan sepatutnya berlaku dalam suasana terbaik yang menjadi contoh kepada generasi yang akan datang.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini media melaporkan Jawi melaksanakan majlis akad nikah dalam talian pertama di Malaysia.

Majlis pernikahan secara sidang video itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.