Malaysia perkukuh kerjasama negara berpotensi hasil vaksin Covid-19

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin ketika sidang media kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Luar bagi mendapatkan capaian dan bekalan vaksin Covid-19 menerusi pendekatan diplomatik di MOSTI hari ini. - Foto Bernama
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin ketika sidang media kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Luar bagi mendapatkan capaian dan bekalan vaksin Covid-19 menerusi pendekatan diplomatik di MOSTI hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan mempertingkatkan usaha memperkukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang berpotensi untuk menghasilkan perubatan dan vaksin Covid-19.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hubungan baik Malaysia dengan negara luar amat berguna untuk memastikan usaha berkenaan dapat dijayakan, sekali gus negara bakal menerima manfaat.

Menurutnya, jalinan diplomatik dan penglibatan dengan negara yang menghasilkan vaksin Covid-19 mampu mengurangkan tempoh menunggu vaksin Covid-19 bagi Malaysia.

“Jika Malaysia sudah ada hubungan dan kerjasama dengan negara yang membangunkan vaksin, Malaysia boleh mendapat keutamaan untuk mendapatkan vaksin itu,” katanya pada sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa negara yang sedang dalam proses penghasilan perubatan dan vaksin.

“Ada juga antara mereka yang telah menyatakan hasrat untuk berkolaboratif dengan Malaysia. Sebagai peringkat pertama, dua negara sudah bersetuju membekalkan Hydroxychloroquine (HCQ) kepada Malaysia ialah Bosnia dan India.

“Beberapa syarikat dari China juga telah menyatakan hasrat untuk menjalankan ujian makmal dan percubaan klinikal bersama Malaysia selain Rusia bersedia untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan negara-negara luar.

“Malah, Turki bersetuju supaya Menteri Kesihatan dari kedua-dua negara saling berhubung untuk memperkasakan kerjasama ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hishammuddin lagi, kerjasama Wisma Putra dengan MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan Malaysia mengambil langkah proaktif dalam mendapatkan vaksin bagi pandemik Covid-19.

“Kerjasama ketiga-tiga kementerian ini penting bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Malaysia,” katanya.