Belanjawan 2027: Perkasa pendidikan, modal insan Sabah, Sarawak - Mustapha

Sabah dan Sarawak bakal menerima pelbagai manfaat menerusi Belanjawan 2027.
Sabah dan Sarawak bakal menerima pelbagai manfaat menerusi Belanjawan 2027.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah dan Sarawak bakal menerima pelbagai manfaat menerusi Belanjawan 2027, meliputi peluang tajaan pendidikan, naik taraf sekolah daif, bantuan kebajikan pelajar, kemudahan pengajian tinggi serta latihan kemahiran dan akses teknologi digital bagi memperkukuh pembangunan modal insan di kedua-dua negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, penggandaan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran kedua-dua negeri setiap tahun merupakan antara inisiatif penting untuk memperluas peluang melanjutkan pengajian.

"Antara pengumuman YAB Perdana Menteri yang dilihat kritikal dalam memperkasa modal insan Sabah dan Sarawak adalah melalui penggandaan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran kedua-dua negeri setiap tahun.

"Langkah ini bakal membuka peluang yang lebih luas kepada anak-anak Borneo untuk melanjutkan pengajian khususnya dalam bidang kritikal yang boleh memacu pembangunan sosio ekonomi di wilayah ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam aspek prasarana pendidikan katanya, hampir RM1.3 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara dengan tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak, manakala peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan semua jenis sekolah digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion.

"Dalam aspek prasarana pendidikan, hampir RM1.3 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara, dengan tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak.

"Peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan semua jenis sekolah turut digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion, di samping pembinaan kemudahan baharu termasuk bangunan prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bulu Silou, Keningau," katanya.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata lagi, bagi kebajikan pelajar, peningkatan Bantuan Awal Persekolahan, peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), elaun sara hidup pelajar Tingkatan Enam serta bantuan tiket penerbangan mahasiswa antara langkah yang dapat membantu meringankan beban keluarga dan pelajar.

"Dari sudut kebajikan pelajar, peningkatan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 setiap murid, peruntukan RM870 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta pemberian elaun sara hidup RM2,500 kepada 90,000 pelajar Tingkatan Enam merupakan antara langkah yang dapat membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan di Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

"Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan bantuan tiket penerbangan FlySiswa Madani daripada RM400 kepada RM500.

"Inisiatif ini amat relevan kepada mahasiswa Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di luar negeri masing-masing," katanya.

Pada masa sama, peruntukan RM800 juta bagi menaik taraf prasarana institusi pengajian tinggi (IPT) dan peluasan Dapur Siswa Madani turut membantu memperkukuh persekitaran pembelajaran serta kebajikan mahasiswa.

"Pada masa yang sama, peruntukan RM800 juta bagi menaik taraf prasarana IPT serta peluasan Dapur Siswa Madani akan membantu memperkukuh persekitaran pembelajaran dan kebajikan mahasiswa," katanya.

Mustapha berkata, empat penambahbaikan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam turut memberikan kelegaan kewangan, khususnya kepada mereka yang berdepan peluang pekerjaan bernilai tinggi yang masih terhad di Borneo Malaysia.

"Saya turut menyambut baik empat penambahbaikan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam.

"Usaha ini memberikan kelegaan kewangan khususnya bagi mereka yang bekerja di Borneo Malaysia dimana pekerjaan bernilai tinggi masih lagi terhad," katanya.

Penambahbaikan itu katanya, merangkumi penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan pada 2027, bayaran minimum RM50 sebulan bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000, diskaun 10 peratus kepada peminjam tanpa tunggakan yang membayar secara teratur serta potongan cukai kepada majikan yang membantu membayar balik pinjaman PTPTN pekerja.

"Penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan bagi tahun 2027.

"Bayaran balik minimum hanya RM50 sebulan kepada peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh kebolehpasaran golongan muda, Belanjawan 2027 turut menyediakan peruntukan latihan TVET bernilai RM8 bilion, pembiayaan RM500 juta oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta akses kepada langganan kecerdasan buatan (AI) dan kursus digital.

"Selain itu, anak muda Sabah dan Sarawak berpeluang menguasai bidang TVET menerusi peruntukan latihan bernilai RM8 bilion serta RM500 juta pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

"Bagi menguasai kemahiran masa hadapan pula, Belanjawan 2027 membuka akses kepada 100,000 langganan AI percuma dan lebih 16,000 kursus digital," katanya.

Beliau berkata, usaha memperluas pendidikan inklusif turut diberi perhatian menerusi peningkatan elaun murid berkeperluan pendidikan khas, penambahan insentif kepada guru pendidikan khas serta pembukaan lebih banyak kelas Tabika Tunas Istimewa di kawasan desa.

"Dalam usaha memastikan pendidikan yang lebih inklusif, peningkatan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM150 kepada RM200 sebulan, penambahan insentif kepada guru pendidikan khas serta pembukaan lebih banyak kelas Tabika Tunas Istimewa di kawasan desa juga merupakan perkembangan yang wajar diberikan perhatian.

"Setiap anak, tanpa mengira keadaan fizikal, keupayaan pembelajaran atau tempat tinggal, perlu diberikan peluang pendidikan yang sewajarnya," katanya.

Mustapha berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak dapat memenuhi keperluan industri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!