Lima mangsa nahas helikopter FDS terima pingat kebesaran Sarawak secara posthumous

KUCHING - Kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban pada September lalu akan dianugerahkan Pingat Pegawai Bintang Sarawak (PBS) secara posthumous.
Anugerah berkenaan akan diberikan kepada mendiang Alexson Adit Henry, Debra Moset, Jessie Paya Jok, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin serta juruterbang Allahyarham Zainol Afiq Bee Sham, dan akan diterima oleh waris masing-masing.
Mereka merupakan antara 1,350 penerima darjah kebesaran negeri Sarawak 2026 sempena sambutan Hari Lahir ke-80 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Sabtu.
Sementara itu, wanita pertama yang dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, mengetuai senarai penerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS), yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjah yang sama ialah Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; veteran politik Datuk Abdul Wahab Aziz; dan ahli perniagaan Tay Ah Ching.
Bagi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk, antara penerimanya ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Dean Wayne Daly; Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Idris Buang; serta Setiausaha Sulit Kanan TYT Sarawak, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paee.
Seramai enam pegawai kanan kerajaan Sarawak menerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu.
Sementara itu, 22 individu lain, termasuk Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, dan Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil, dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS), yang membawa gelaran Datuk.
Tokoh kewartawanan Sarawak, Dr Toman Mamora, pula merupakan penerima tunggal Pingat Johan Bintang Sarawak (JBS).
Pingat yang sama turut dianugerahkan secara posthumous kepada bekas Pegawai Memerintah Rejimen Renjer Ketiga, Brigedier Jeneral Philip Lee Khui Fui, yang pernah terlibat dalam operasi ketenteraan di Nonok.
Sambutan ulang tahun TYT Sarawak bermula pada Khamis dengan majlis kesyukuran, diikuti istiadat rapat raksasa di Padang Merdeka, Kuching pada Sabtu.
Ia kemudian diteruskan dengan istiadat pengurniaan darjah kebesaran negeri di Astana Negeri.
Siri sambutan berkenaan akan diakhiri dengan Jamuan Negeri, konsert rakyat di Padang Merdeka dan jamuan teh pada Ahad. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
