Belanjawan 2027: Grab terajui lima inisiatif bantu pekerja gig

Usaha meningkatkan taraf kehidupan rakan-pemandu dan rakan-penghantar sentiasa menjadi keutamaan Grab. - Gambar hiasan
Usaha meningkatkan taraf kehidupan rakan-pemandu dan rakan-penghantar sentiasa menjadi keutamaan Grab. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Grab Malaysia menerajui lima inisiatif bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos operasi pekerja gig susulan pengumuman Belanjawan 2027 termasuk subsidi penyelenggaraan kenderaan serta bantuan kos insurans.

Pengarah Eksekutif Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, usaha meningkatkan taraf kehidupan rakan pemandu dan rakan penghantar sentiasa menjadi keutamaan syarikat itu.

"Kami memahami bahawa setiap ringgit amat bermakna, sama ada melalui peluang pendapatan tambahan atau penjimatan kos harian untuk bekerja.

"Melalui kerjasama dengan kerajaan, kami menerajui usaha dalam industri untuk memajukan langkah-langkah yang mampu membawa perubahan bermakna kepada rakan kongsi kami, sambil membina ekonomi gig yang lebih kukuh dan mampan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan dan Grab bersetuju membiayai bersama satu pakej bernilai RM160 juta yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing bermula tahun depan.

Menurut Anwar, pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan.

Bagi meningkatkan pendapatan pekerja gig, Grab memaklumkan persetujuan pada prinsipnya telah dicapai berhubung cadangan kadar asas minimum untuk pekerja e-panggilan dan p-panggilan mulai 2027, selaras dengan rangka kerja interim yang dicadangkan kerajaan.

"Dengan Grab menerajui usaha memajukan inisiatif ini, pelarasan yang dicadangkan bertujuan meningkatkan pendapatan bersih yang dibawa pulang oleh rakan kongsi mulai 2027, sambil memastikan tambang penumpang kekal stabil sepanjang pelaksanaan rangka kerja tersebut.

"Majlis Perundingan Gig akan meneruskan perbincangan bagi menentukan kadar muktamad," Menurut Grab.

Artikel Berkaitan:

Grab memaklumkan kerajaan akan membantu membiayai subsidi penyelenggaraan bermula dengan pelincir bagi mengurangkan perbelanjaan penyelenggaraan kenderaan,

"Melalui mekanisme yang ditetapkan, subsidi ini akan mengurangkan kos operasi rakan pemandu dan rakan penghantar sehingga 35 peratus sekali gus menggalakkan ekonomi gig yang lebih mampan," ujar kenyataan itu.

Menurut syarikat itu, pihaknya akan memperkenalkan insentif keselamatan interim bagi mengurangkan kos insurans e-hailing sehingga 25 peratus untuk pemandu yang mempunyai skor keselamatan yang baik.

Tambahnya, insentif berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan pemandu, di samping menggalakkan amalan pemanduan bertanggungjawab dan menyumbang kepada keselamatan jalan raya.

Bagi memperkukuh perlindungan sosial, Grab dan kerajaan akan menyokong pelaksanaan caruman mandatori Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Akta Pekerja Gig.

"Rakan-pemandu dan penghantar Grab yang paling aktif akan menerima perlindungan percuma sepenuhnya, manakala rakan kongsi lain akan menerima subsidi caruman sehingga 50 peratus," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Grab akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkenalkan pas transit bulanan khas bagi perjalanan awal dan akhir ke pengangkutan awam, bermula di Lembah Klang.

Menerusi inisiatif itu, pengguna akan menikmati tambang e-panggilan pada kadar diskaun untuk perjalanan ke dan dari stesen kereta api, sekali gus meningkatkan akses kepada pengangkutan awam serta mewujudkan permintaan tambahan untuk pemandu.

Menurut Grab, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada pekerja gig, selain menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!