Belanjawan 2027: Sambungan LPT, tebatan banjir tidak diberi perhatian – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketiadaan perancangan menyambung Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan peruntukan mencukupi bagi menghadapi perubahan iklim tidak diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perancangan menyambung lebuh raya itu yang kini hanya sampai ke Terengganu, sepatutnya disentuh memandangkan projek berkenaan pernah dijanjikan sebelum ini.
"Isu ini selalu dibangkitkan, tetapi perancangan kerajaan untuk menyambung LPT langsung tidak disentuh.
"Jadi, saya rasa belanjawan mesti menjangkau isu-isu besar yang dihadapi rakyat.
"LPT sekarang sampai ke Terengganu. Bila nak sambung, walaupun dijanji nak sambung?," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada Jumaat:
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berpandangan, keseimbangan pembangunan wilayah masih belum jelas dalam belanjawan kali ini lebih tertumpu kepada beberapa segmen tertentu.
Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air menegaskan, isu perubahan iklim perlu diberi perhatian lebih serius kerana ia menjadi antara cabaran utama negara pada masa depan.
Malah ujarnya, keperluan memperkukuh projek tebatan banjir perlu dinilai semula berikutan peningkatan risiko banjir yang memerlukan perlindungan lebih tinggi berbanding reka bentuk sedia ada.
"Sekarang ini, tebatan banjir kita berdasarkan tempoh ulang kala 50 tahun (ARI), tetapi banjir sudah melebihi had 50 tahun.
"Maknanya, peruntukan untuk tebatan banjir mesti sekali ganda daripada sebelum ini. Kalau tidak, kita buat tetapi akhirnya gagal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

