Taktik kotor sindiket seleweng minyak sawit terbongkar

KLANG - Membeli minyak sawit mentah dengan harga rendah sebelum menjual semula pada kadar tinggi antara taktik dikesan dalam serbuan sebuah premis di Kawasan Perusahaan Pelabuhan Utara, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini, pada Khamis.
Kegiatan pemindahan minyak sawit mentah secara haram itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Cawangan Risik Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, dengan bantuan pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Wilayah Tengah serta Balai Polis Pelabuhan Klang, menyerbu lokasi berkenaan kira-kira jam 4.45 petang.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Amanjit Singh berkata, pemeriksaan di lokasi menemukan sebuah lori treler tangki dan sebuah lori rigid yang mengandungi cecair disyaki minyak sawit mentah dengan anggaran berat keseluruhan 37,110 kilogram.
"Pemeriksaan turut membawa kepada rampasan beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak sawit mentah secara tidak sah.
"Serbuan menerusi Op Intra/Inter itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 34 tahun serta melibatkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM803,600," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai peranan berbeza dalam kegiatan berkenaan.
"Suspek pertama berusia 29 tahun dipercayai bertindak sebagai pemandu lori tangki yang membawa minyak sawit mentah, manakala suspek kedua berusia 34 tahun berperanan sebagai pembeli minyak sawit mentah berkenaan untuk dijual semula.
"Suspek kedua dipercayai membeli minyak sawit mentah itu pada harga RM3 sekilogram sebelum menjualnya semula di pasaran gelap pada harga antara RM3.50 hingga RM3.80 sekilogram," katanya.
Amanjit berkata, berdasarkan maklumat awal, kegiatan itu dipercayai telah dijalankan sejak kira-kira enam bulan lalu.
Beliau berkata, minyak sawit mentah berkenaan dipercayai dibawa dari Johor dan Negeri Sembilan, namun destinasi penghantaran seterusnya masih dalam siasatan.
"Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada MPOB Cawangan Wilayah Tengah untuk siasatan lanjut mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya mengetahui sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang bagi membantu tindakan penguatkuasaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

