Tiada nikah 'online' di Perak

Mohd Akmal dalam hantaran di Facebook memaklumkan bahawa pelaksanaan nikah secara dalam talian tidak akan dijalankan di Perak.
Mohd Akmal dalam hantaran di Facebook memaklumkan bahawa pelaksanaan nikah secara dalam talian tidak akan dijalankan di Perak.
A
A
A

IPOH - Pernikahan secara dalam talian tidak akan dilaksanakan di Perak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selagi tiada keputusan mengenai perkara itu daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Exco Agama dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, proses nikah di Perak setakat ini tertakluk kepada tatacara dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang hanya membenarkan majlis akad nikah diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah.

Menurutnya, semua pihak perlu mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh JAIPk sebelum ini.

"Biarpun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-97 memutuskan bahawa harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat yang ditetapkan, kita tetap tertakluk kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

"Jadi, sebarang keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mesti kita menghormatinya," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Akmal yang turut membuat hantaran di Facebook mengenai perkara itu berkata, sehingga kini terdapat 360 pasangan di Perak yang mendaftar untuk bernikah dalam tempoh PKP ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - PKP: Tatacara baharu majlis akad nikah di Perak

Pada 16 April lalu, JAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan tatacara baharu pelaksanaan majlis akad nikah di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, majlis akad nikah perlu dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah dan tidak dibenarkan di premis persendirian atau di tempat awam seperti masjid, surau, dewan atau tempat-tempat awam yang lain.

Artikel Berkaitan:

Selain perlu mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan sebelum majlis akad nikah dijalankan, majlis itu juga perlu dilaksanakan dalam tempoh 30 minit melibatkan hanya tiga sesi setiap hari.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melaksanakan majlis akad nikah dalam talian pertama di Malaysia hari ini.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/79467/KHAS/Koronavirus/Akad-nikah-online-pertama-di-Malaysia-hari-ini]