Belanjawan 2027: Tragedi tiga beranak di LPT1 jadi perhatian PM

KUALA LUMPUR - Tragedi kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Temerloh yang meragut empat nyawa termasuk sepasang suami isteri dan anak kecil mereka pada malam Hari Kebangsaan lalu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kejadian itu menjadi peringatan mengenai bahaya pelanggaran peraturan jalan raya meskipun penguatkuasaan telah diperketat.
Menurutnya, sebanyak 28 kes kematian akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah direkodkan setakat Ogos tahun ini.
“Tragedi seumpama ini menyentak sanubari kita, bahawa walaupun penguatkuasaan telah diperketat, namun pelanggaran peraturan masih lagi membimbangkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Sehubungan itu, Anwar mengumumkan kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa.
Kerajaan juga akan mewajibkan pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan untuk memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko, termasuk sambungan kepada alat pengesan alkohol sebelum pemandu memulakan perjalanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

