Belanjawan 2027: Kerajaan sedia tanah strategik RM1 bilion perkasa ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur, bernilai RM1 bilion sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra bagi memperkukuh pemilikan dan ekonomi Bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera menerusi pendekatan terangkum di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
"Kali pertama Kerajaan menyediakan endowmen kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra adalah pada tahun 1978 berjumlah RM200 juta. Sejak 1981, tiada endowmen susulan diberikan.
"Hasratnya adalah untuk tanah ini dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengambil kira keperluan penyediaan rumah mampu milik serta kepentingan Bumiputera, " katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan turut mewartakan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu, yang disifatkan sebagai langkah yang belum pernah dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu.
"Petronas kini telah memulakan pembangunan 10 ekar pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
