X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh lelaki terlibat kes pecah rumah, curi kabel diberkas

Nik Ezanee Mohd Faisal melihat hasil rampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
A
A

PETALING JAYA - Polis memberkas tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti pecah rumah dan curi kabel di sekitar daerah ini dalam serbuan berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 27 hingga 36 tahun.

“Dalam serbuan pertama jam 11 pagi di lobi sebuah bangunan di Mutiara Damansara, polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki mencuri kabel di bangunan terbabit.

"Hasil soal siasat, kedua-dua suspek berkenaan mengaku mencuri kabel dan menjualnya di sebuah kedai barangan lusuh di Puchong," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, dalam serbuan kedua pada jam 6.15 petang, polis telah menahan dua lelaki berhampiran sebuah lori di Sungai Way kerana disyaki terlibat aktiviti mencuri kabel.

“Kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan selain seorang daripada mereka dikehendaki polis,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan tangkapan berkenaan, polis kemudiannya telah menyerbu sebuah premis besi buruk di Taman Desa Ria, Petaling Jaya.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Boy' yang dipercayai pembeli kabel curi tersebut.

"Kita merampas satu guni yang mengandungi wayar tembaga yang telah dibakar, tangga aluminium, pemotong wayar dan pelbagai anak kunci,” katanya.

Nik Ezanee berkata, hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek mengaku bekerja dengan seorang lelaki dikenali sebagai Benet.

“Susulan itu, kita berjaya memberkas Benet bersama seorang lagi rakannya di sebuah rumah di Apartment Seri Setia, Sungai Way kira-kira jam 6.20 petang pada hari sama," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 27 dan 12 rekod jenayah lampau antaranya berkaitan kes dadah.

"Kita turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, tukul, pembersih hampagas, minyak masak dan komputer," katanya.

Katanya, ketujuh-tujuh suspek tersebut direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan 457 kerana mencuri dan pecah rumah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!