AS tidak akan serang Iran sebelum 3 November – Trump

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan Washington tidak akan melancarkan serangan terhadap Iran sebelum pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada 3 November ini, ketika kedua-dua negara dilaporkan sedang mengadakan rundingan bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak enam bulan lalu.
Menurut laporan Reuters pada Khamis, Trump menerusi hantaran di platform Truth Social berkata, perbincangan antara AS dengan Republik Islam Iran sedang berjalan secara produktif.
“Kami sedang mengadakan perbincangan produktif dengan Republik Islam Iran. Kami tidak akan menyerang Iran pada bila-bila masa sebelum pilihan raya pertengahan penggal yang akan diadakan di Amerika Syarikat pada 3 November,” katanya.
Perang yang bermula pada Februari lalu susulan serangan AS dan Israel terhadap Iran mendorong penurunan kadar kelulusan terhadap Trump dalam kalangan rakyat negara itu, selain memberi tekanan kepada anggota Parti Republikan ketika mereka berusaha mengekalkan majoriti tipis di Kongres dalam pilihan raya November ini.
Menurut tinjauan Reuters/Ipsos baru-baru ini, kira-kira 60 peratus rakyat AS, termasuk seorang daripada empat anggota Republikan, tidak bersetuju dengan cara Trump mengendalikan konflik berkenaan.
Konflik itu turut menyebabkan harga petrol meningkat dengan ketara ketika kos sara hidup menjadi kebimbangan utama pengundi.
Trump berulang kali menyatakan beliau menjangkakan harga minyak akan turun selepas pilihan raya berkenaan, namun tidak mengemukakan pelan terperinci untuk menamatkan perang itu.
Iran dan AS bertukar cadangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini bagi menamatkan perang serta membuka semula Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran tenaga global.
Bagaimanapun, Trump menolak tawaran terbaharu Teheran.
Media kerajaan Iran pada Khamis pula melaporkan bahawa negara itu tidak akan menghentikan aktiviti pengayaan uranium atau menyerahkan stok uranium sedia ada.
Laporan itu memetik kenyataan Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, beberapa hari selepas Naib Presiden AS, JD Vance memberitahu Reuters bahawa Iran perlu mengurangkan keupayaan pengayaan uraniumnya secara ketara.
AS, Israel dan sekutu Barat sejak sekian lama menuduh Iran berusaha membangunkan senjata nuklear, namun Teheran berulang kali menafikan dakwaan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

