JPJ kesan kegiatan tawar IDP palsu RM500

KUALA LUMPUR - Dokumen Permit Memandu Antarabangsa atau International Driving Permit (IDP) dipercayai palsu dikesan ditawarkan kepada warga asing dengan bayaran sehingga RM500 dan tempoh sah lima tahun.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, dokumen berkenaan dipercayai tidak memenuhi keperluan pengiktirafan untuk tujuan memandu secara sah di Malaysia.
Menurutnya, perkara ini dipandang serius kerana berpotensi memperdaya warga asing untuk mempercayai bahawa mereka mempunyai kelayakan memandu yang sah, sedangkan dokumen yang dimiliki mungkin tidak diiktiraf.

"Sebagai perbandingan, IDP yang dikeluarkan oleh JPJ mempunyai tempoh sah selama satu tahun berdasarkan Convention on Road Traffic, Geneva, 19 September 1949 dan penggunaannya tertakluk kepada undang-undang negara atau wilayah yang berkenaan.
"Dokumen yang tertera perkataan 'International Driving Permit' tidak secara automatik memberikan hak kepada seseorang untuk memandu di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, dokumen tersebut hendaklah dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau pihak yang diberi kuasa oleh negara berkenaan serta memenuhi syarat pengiktirafan yang terpakai di Malaysia.
Sehubungan itu, jelas Hamidi, warga asing diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran mendapatkan dokumen memandu antarabangsa daripada pihak yang tidak mempunyai kuasa atau pengiktirafan yang sah.

"JPJ tidak akan berkompromi terhadap penggunaan dokumen memandu yang tidak sah.
"Sebarang pelanggaran undang-undang yang dikesan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan sewajarnya," ujarnya.
Dalam pada itu, Hamidi memaklumkan, pada tahun ini sehingga 8 Oktober, pelaksanaan Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) oleh JPJ Kuala Lumpur merekodkan 19,140 kenderaan diperiksa, 5,568 kenderaan diambil tindakan dan 11,495 kesalahan dikesan.
Tegasnya, statistik ini menunjukkan bahawa ketidakpatuhan terhadap undang-undang jalan raya masih menjadi isu yang memerlukan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan menyeluruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
