Warga asing guna grup WhatsApp sebar maklumat, elak dicekup JPJ

JPJ Selangor melaksanakan Op Pewa dengan tindakan sitaan 11 kenderaan pada Isnin.
JPJ Selangor melaksanakan Op Pewa dengan tindakan sitaan 11 kenderaan pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Warga asing dikesan menyebar maklumat tindakan operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi grup WhatsApp bagi mengelak tindakan ke atas kenderaan mereka.

Taktik itu dikesan menerusi Op Pemandu Warga Asing (Pewa) yang digerakkan JPJ Selangor di sekitar Jalan Paya Jaras, Persiaran Elmina serta Kubu Gajah, dekat sini pada Isnin.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Menhat berkata, operasi bermula jam 8 pagi mengesan pelbagai kesalahan antaranya tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, salah guna LKM serta tiada insurans.

Menurutnya, 11 kenderaan disita membabitkan 10 motosikal jenis Modenas Kriss, Yamaha LC135 dan Honda EX5 selain sebuah kereta Proton Waja.

"Penunggang yang ditahan melibatkan seorang etnik Rohingya selain empat Bangladesh, Kemboja (2 orang) serta Indonesia (4 orang).

"Kita berjaya menahan dan menyita kenderaan warga asing yang cuba melarikan diri daripada penguatkuasaan walaupun berhadapan dengan taktik warga asing yang menyebarkan maklumat operasi menerusi grup WhatsApp," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, siasatan juga mendapati kenderaan tersebut disewa murah bagi menjalankan urusan perniagaan.

"JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!