Belanjawan 2027: LEAD Malaysia kemuka lima tuntutan e-hailing

SHAH ALAM - Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) mengemukakan lima cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 bagi melindungi pendapatan pemandu e-hailing tanpa membebankan pengguna.
Lima cadangan itu ialah memperkenalkan tambang minimum yang munasabah, menggunakan mekanisme dynamic pricing, menghentikan mekanisme bidaan tambang (bidding), menyediakan bantuan atau subsidi penyelenggaraan secara bersasar dan menangani kenaikan kos insurans e-hailing.
LEAD Malaysia dalam kenyataan berkata, tambang minimum perlu menjadi kadar asas yang memberikan perlindungan kepada pemandu daripada tambang terlalu rendah, dengan mengambil kira kos minyak, tayar, servis berkala, insurans, susut nilai kenderaan serta masa dan jarak mengambil penumpang.
Menurutnya, tambang terlalu rendah boleh menyebabkan sesetengah perjalanan tidak memberikan pulangan munasabah selepas kos operasi diambil kira, sekali gus pemandu mungkin bekerja lebih lama dan melakukan lebih banyak perjalanan walaupun pendapatan bersih kekal rendah.
"Pada masa sama, LEAD Malaysia mahu mekanisme bidding dihentikan kerana persaingan antara pemandu tidak seharusnya berlaku melalui penurunan harga yang akhirnya menekan pendapatan mereka.
"Sebaliknya, penentuan tambang sewajarnya menggunakan mekanisme dynamic pricing berdasarkan permintaan dan penawaran, jarak, masa, keadaan trafik serta keadaan pasaran semasa," menurut kenyataan itu pada Khamis.
Bagaimanapun, LEAD Malaysia menegaskan kadar minimum perlu seimbang kerana tambang terlalu tinggi, khususnya bagi perjalanan pendek, boleh mengurangkan penggunaan e-hailing, terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah, pelajar dan mereka yang bergantung kepada perkhidmatan itu untuk perjalanan harian.
"Apabila permintaan berkurangan, pemandu pula menerima kurang tempahan. Akhirnya, tambang yang tinggi tidak semestinya menghasilkan pendapatan keseluruhan yang lebih baik kepada pemandu," katanya.
Selain itu, LEAD Malaysia mencadangkan bantuan atau subsidi penyelenggaraan bersasar kepada pemandu e-hailing aktif, termasuk bagi pembelian dan penggantian tayar, servis berkala, minyak enjin, sistem brek serta keperluan penyelenggaraan asas lain yang mempunyai kaitan langsung dengan operasi dan keselamatan kenderaan.
Katanya, kenderaan e-hailing berada di jalan raya jauh lebih lama dan mencatatkan jarak perjalanan lebih tinggi berbanding penggunaan kenderaan persendirian biasa, menyebabkan tayar lebih cepat haus, servis perlu dilakukan lebih kerap dan kos penyelenggaraan meningkat.
LEAD Malaysia turut meminta kerajaan memberi perhatian serius terhadap kenaikan kos insurans e-hailing dan mempertimbangkan langkah yang dapat meringankan kos insurans yang ditanggung pemandu melalui penelitian dan kawal selia yang lebih berkesan.
LEAD Malaysia berharap Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengambil kira keseimbangan antara pendapatan pemandu dan kemampuan rakyat dalam sebarang pengumuman berkaitan sektor e-hailing sempena Belanjawan 2027.
"Prinsipnya mudah: pemandu perlu mampu mencari rezeki, tetapi penumpang juga perlu mampu menggunakan e-hailing," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

