Abdul Azeez cabar keputusan LHDN batal persetujuan bayaran cukai RM4.8 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini berhubung keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membatalkan persetujuan pembayaran cukai dan penalti berjumlah RM4.8 juta, tiga bulan lalu.
Bekas Ahli Parlimen Baling berusia 60 tahun itu memohon kepada mahkamah pada 6 September lalu, supaya keputusan LHDN memansuhkan persetujuan bertarikh 9 Februari 2022 serta notis taksiran komposit bertarikh 22 Mac 2022 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2020 dibatalkan.
Beliau turut memohon perintah mahkamah supaya LHDN mematuhi persetujuan berkenaan yang didakwa telah dipenuhinya.
Berdasarkan dokumen mahkamah, Abdul Azeez mendakwa LHDN menjalankan siasatan cukai terhadapnya pada penghujung 2021 atau awal 2022 sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan pada empat tahun lalu.
Menurutnya, persetujuan itu menetapkan beliau perlu membayar cukai dan penalti berjumlah RM4.8 juta bagi tahun taksiran 2011 hingga 2020 secara ansuran.
Beliau kemudian mendakwa telah menyelesaikan bayaran tersebut mengikut persetujuan yang dicapai.
Bagaimanapun, Abdul Azeez mendakwa menerima surat bertarikh 7 Ogos lalu, daripada Bahagian Pematuhan Strategik LHDN Negeri Sembilan yang memaklumkan keputusan untuk membatalkan persetujuan dan notis taksiran komposit berkenaan.
Beliau turut menerima notis daripada LHDN untuk menghadiri temu duga dan memberikan maklumat berkaitan tahun taksiran 2014 hingga 2025.
Abdul Azeez mendakwa menerima beberapa notis tambahan daripada LHDN yang berkaitan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA).
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Abdul Azeez atas alasan cabaran tersebut dibuat terlalu awal kerana siasatan LHDN masih dijalankan.
Semasa prosiding di hadapan Hakim, S Indra Nehru, peguam, Nicholas Mark Pereira yang mewakili Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berhujah, pembatalan berkenaan boleh dicabar kerana Seksyen 96A(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan taksiran komposit sebagai muktamad dan konklusif.
“Anak guam telah menjelaskan RM4.8 juta seperti dipersetujui, namun perjanjian itu dibatalkan tanpa penjelasan terperinci mengenai fakta baharu yang dikatakan ditemui oleh LHDN.
"Jadi, pihak pemohon turut memohon perintah penangguhan sementara bagi menghalang LHDN daripada meneruskan tindakan penyiasatan atau penguatkuasaan berkaitan perkara itu sementara menunggu keputusan semakan kehakiman," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, ‘status quo’ atau keadaan sekarang perlu dikekalkan.
“Ini kerana kami mempersoalkan peruntukan undang-undang yang membolehkan perjanjian penyelesaian berkenaan dibatalkan selepas taksiran komposit dipersetujui,” katanya yang hadir bersama peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Peguam Kanan Persekutuan, Ng Siew Wee kemudian berhujah bahawa, setakat ini Abdul Azeez tidak diarahkan membayar sebarang jumlah cukai tambahan.
Katanya, tiada jumlah cukai tambahan ditetapkan dan tiada taksiran baharu dikeluarkan ketika permohonan semakan kehakiman itu difailkan.
“Pemohon membuat permohonan berdasarkan jangkaan bahawa pembatalan persetujuan dan taksiran komposit itu akan diikuti taksiran baharu atau tambahan serta tindakan penguatkuasaan.
“Pembatalan persetujuan itu mungkin merupakan tindakan pentadbiran, namun ia tidak bermakna Abdul Azeez pada ketika ini sudah mempunyai liabiliti cukai yang perlu dibayar,” katanya.
Beliau berkata, notis baharu yang dikeluarkan LHDN hanya berkaitan pengumpulan maklumat dan langkah siasatan, dan tidak menentukan jumlah cukai yang perlu dibayar Abdul Azeez.
Dalam prosiding tersebut, Peguam Kanan Hasil, Marina Ibrahim hadir bagi pihak LHDN.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Indra Nehru menetapkan keputusan permohonan kebenaran berkenaan pada 11 November depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

