Dua pengarah syarikat didakwa palsukan dokumen tender baja MADA

ALOR SETAR - Seorang pengarah dan pengarah urusan syarikat pembekal baja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berkaitan pemalsuan dokumen bagi permohonan tender pembekalan baja kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Tertuduh, Muhammad Fadzil Md Fadzilah, 30, dan bapanya, Md Fadzilah Ariffin, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berasingan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini pada Khamis.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fadzil yang juga Pengarah Taaveekun Manufacturing Sdn Bhd didakwa memberikan dokumen mengandungi pernyataan palsu berkaitan butiran data kewangan bagi mengelirukan Pengerusi Jawatankuasa Pembuka Tender MADA.
Dokumen itu dikemukakan bagi permohonan tender bertajuk ‘Membekal, Menghantar dan Mengedar Baja Sebatian Di Bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di Kawasan Muda Untuk Keperluan Tanaman Padi Musim 1 dan 2 Tahun 2026’.
Antara butiran yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan ialah pinjaman tetap yang akan diperoleh syarikat berjumlah RM7 juta, Surat Jaminan Kredit RM8 juta dan jaminan insurans RM15 juta.
Bagaimanapun, Taaveekun Manufacturing didakwa tidak pernah diberikan kemudahan berkenaan oleh Permodalan RISDA Berhad.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat MADA, Daerah Kota Setar di sini, kira-kira jam 2.30 petang pada 11 Januari 2026.
Muhammad Fadzil turut didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu dokumen palsu iaitu ‘Surat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)’ bertarikh 6 Januari 2026 yang dilampirkan dalam permohonan tender sama.
Bagi pertuduhan berkaitan dokumen kewangan, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan menggunakan dokumen palsu pula dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Md Fadzilah yang juga Pengarah Urusan syarikat didakwa bersubahat bersama Muhammad Fadzil memberikan pernyataan palsu berkaitan butiran data kewangan serta surat RISDA bertarikh 6 Januari 2026.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM100,000 berserta seorang penjamin bagi setiap tertuduh bagi memastikan mereka hadir sepanjang prosiding.
Bagaimanapun, peguam Fahmi Adilah memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan kedua-dua tertuduh masih menyara keluarga dan mempunyai anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan 1 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja yang dikaitkan dengan isu kelewatan pengagihan input pertanian di Kedah ditahan SPRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

