Jauh daripada keluarga antara alasan doktor tolak penempatan di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR – Faktor berjauhan daripada keluarga menjadi antara alasan seramai 382 pegawai perubatan gagal melapor diri bagi penempatan tetap di Sabah dan Sarawak selepas tempoh melapor diri tamat pada Rabu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain faktor keluarga, pegawai perubatan turut tidak bersedia bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman serta lebih berminat di fasiliti kesihatan kawasan bandar.
"Ada juga antara mereka ingin menjaga ibu bapa dan adik-beradik serta ingin berada berdekatan dengan pasangan.
"Seterusnya, (ada) pegawai perubatan menghidap masalah kesihatan serta pegawai menghadapi masalah logistik, kewangan peribadi serta kos perpindahan yang tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai kadar gagal lapor diri tinggi di Sabah dan Sarawak melibatkan keseluruhan 4,255 pegawai perubatan serta punca dan langkah mengatasinya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat juga persepsi dalam kalangan pegawai bahawa peluang kerjaya kurang baik sekiranya berkhidmat di luar bandar dan pedalaman.
Katanya, pegawai juga bimbang mengenai peluang melanjutkan pengajian kepakaran, hala tuju kerjaya serta peluang bertukar kembali ke Semenanjung atau wilayah asal selepas ditempatkan di Sabah dan Sarawak.
Dr Dzulkefly menjelaskan, hanya seramai 337 daripada 527 pegawai yang ditawarkan penempatan di Sarawak telah melapor diri, manakala di Sabah, hanya 336 daripada 528 pegawai yang ditawarkan berbuat demikian.
Ini bermakna seramai 190 pegawai di Sarawak dan 192 di Sabah gagal melapor diri, menjadikan keseluruhan 382 pegawai tidak melapor daripada 1,055 penempatan yang ditawarkan di kedua-dua negeri.
Menurutnya, secara keseluruhan peratus pegawai perubatan yang melapor diri di kedua-dua negeri itu adalah 63 peratus daripada jumlah penempatan yang ditawarkan, dengan berlaku sedikit peningkatan berbanding 42 peratus pada 2025.
Justeru, Dr Dzulkefly menegaskan, bagi menangani isu berkenaan, Kementerian Kesihatan (KKM) menambah baik sistem e-Placement menggunakan teknologi algoritma serta mengeluarkan keputusan penempatan lebih awal supaya pegawai mempunyai masa mencukupi membuat persediaan.
Katanya, pegawai yang bertukar daripada skim kontrak kepada tetap turut layak menerima elaun pertukaran pada kadar 100 peratus, termasuk elaun makan, bayaran sewa hotel dan tambang perjalanan.
"Pegawai yang bertukar kembali ke wilayah asal juga layak menerima elaun gangguan bersamaan sebulan gaji hakiki, manakala pegawai yang pernah berkhidmat di Sabah dan Sarawak diberikan merit tambahan dalam pertimbangan latihan kepakaran dan cuti belajar," ujarnya.
Beliau turut mengumumkan KKM akan melaksanakan kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi latihan kepakaran untuk pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Katanya, daripada 1,650 tempat Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) ketika ini, kira-kira 500 tempat akan dikhususkan kepada pegawai perubatan yang berkhidmat di kedua-dua negeri berkenaan.
“Saya telah mengarahkan KKM untuk meneliti dan seterusnya melaksanakan kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi lanjutan kepakaran untuk mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
“Ini komitmen saya bagi mengangkat martabat serta menghargai pengorbanan para pegawai perubatan kita di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

