ATM kawal sempadan negara 24 jam

Ahmad Hasbullah (dua dari kiri) ketika tiba di sekatan jalan raya Kampung Gong Pauh di sini hari ini.
Ahmad Hasbullah (dua dari kiri) ketika tiba di sekatan jalan raya Kampung Gong Pauh di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sempadan negara dikawal rapi 24 jam oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama melibatkan laluan tikus yang mudah dimasuki pendatang asing.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, langkah itu bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku di dalam negara terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini telah memasuki fasa ketiga.

"Setakat ini berdasarkan maklumat yang diterima tiada berlaku sebarang pencerobohan pendatang tanpa izin dikesan di sempadan negara termasuk di jalan-jalan tikus.

"ATM bersama agensi yang lain akan mempertingkatkan lagi kawalan di laluan-laluan ini bagi memastikan tahap keselamatan terjamin terutama dalam tempoh penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan bagi melihat pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP pihak ATM dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekatan jalan raya di Kampung Gong Pauh di sini hari ini.

Ahmad Hasbullah (tengah) melihat papan tanda di sekatan jalan raya Kampung Gong Pauh dalam lawatannya di sini hari ini.
Ahmad Hasbullah (tengah) melihat papan tanda di sekatan jalan raya Kampung Gong Pauh dalam lawatannya di sini hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik.

Dalam perkembangan sama, katanya, selain kekuatan anggota, ATM turut menggunakan teknologi terkini dalam mengawal sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

"Di kawasan laluan rahsia seperti lorong tikus ini kita letakkan lebih anggota, gandakan rondaan, bersiap siaga 24 jam serta menggunakan alatan seperti dron dan sebagainya.

"Kawalan di sempadan ini penting kerana bukan kita (Malaysia) sahaja yang mengalami masalah pandemik (Covid-19), ia melanda seluruh dunia.

"Ramai yang tertumpu ke Malaysia memandangkan rakyatnya baik, ekonomi kukuh dan sistem perubatan kita yang bagus," katanya.

Sehingga kini terdapat 5,000 anggota yang bertugas di seluruh sempadan negara.

Selain itu, seramai 7,000 pegawai dan anggota ATM telah digerakkan di seluruh negara melibatkan ketumbukan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membantu dalam penguatkuasaan PKP.

Di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) pula terdapat 1,102 pegawai dan anggota ATM terlibat dalam membantu pihak polis mengawal pergerakan orang ramai dalam tempoh PKP ini.