Belanjawan 2027: Peniaga Rantau Panjang harap cadangan sambung ECRL rancakkan semula zon bebas cukai

Suasana yang sudah tidak serancak dulu di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.
Suasana yang sudah tidak serancak dulu di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.
A
A
A

PASIR MAS – Peniaga di zon bebas cukai Rantau Panjang berharap penyambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke kawasan itu dapat membantu memulihkan perniagaan yang terjejas sejak hampir lima tahun lalu.

Peniaga pakaian, Fadli Mat Yusof, 55, berkata, mereka sudah lama menantikan satu tindakan besar dan berkesan untuk menyelesaikan masalah dihadapi seumpama pembinaan kemudahan pengangkutan canggih itu yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.

“Kami memang menanti-nantikan masalah kami diselesaikan.

“Harapnya, apabila laluan ECRL disambung ke Rantau Panjang, lebih ramai orang datang dan perniagaan kembali rancak,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Fadli
Fadli

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat, kerajaan mengumumkan ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi pada Disember ini.

Malaysia dan China turut mencapai persetujuan untuk menyambung laluan itu ke Rantau Panjang, selain sebuah stesen bas akan dibina di stesen ECRL Kota Bharu bagi memudahkan perjalanan rakyat Kelantan.

Fadli turut berharap urusan di pintu sempadan dapat dipermudahkan bagi membantu menggerakkan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, persaingan perniagaan semakin mencabar selepas pandemik Covid-19 ditambah dengan pembelian secara dalam talian menerusi platform seperti TikTok.

Katanya, keadaan perniagaan yang tidak menentu menyebabkan peniaga berharap usaha untuk merancakkan semula kawasan berkenaan dapat dilaksanakan tanpa mengambil masa terlalu lama.

Peniaga kacang, Wira Abdul Ghani, 33, turut mengharapkan keadaan perniagaan di Rantau Panjang kembali pulih bagi membolehkannya memperoleh pendapatan lebih baik.

Wira
Wira

Menurutnya, meskipun kedai dibuka seawal jam 9 pagi, pelanggan hanya datang sekitar jam 3 petang sekali gus menyukarkannya mendapatkan pendapatan untuk membayar sewa tapak niaga dan rumah serta menyara dua anaknya.

“Harapnya, dengan adanya ECRL nanti keadaan akan lebih mudah dan ramai orang datang ke Rantau Panjang.

“Cuma saya berharap proses ini tidak mengambil masa terlalu lama dan bukan sekadar janji,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!