Jerebu: KPM perlu bertindak awal, khuatir semakin memburuk

Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta mengambil langkah perlindungan sewajarnya ketika keadaan jerebu berterusan.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta mengambil langkah perlindungan sewajarnya ketika keadaan jerebu berterusan.
A
A
A

SHAH ALAM - Bacaan jerebu kini semakin memburuk dan berpotensi menjejaskan kesihatan pelajar jika tiada langkah pencegahan yang sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam keadaan itu, KPM perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dengan menilai semula keperluan meneruskan sesi persekolahan di kawasan yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Sebanyak 33 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 6 pagi Rabu, dengan Batu Pahat, Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 195.

Persoalannya, sejauh mana pelajar benar-benar terlindung jika sesi persekolahan masih diteruskan ketika keadaan udara semakin merosot?

Meskipun pelajar berada di dalam bilik darjah, ia tidak semestinya bermakna mereka bebas daripada pendedahan kepada udara tercemar.

Kebanyakan bilik darjah mempunyai pengudaraan semula jadi dan tingkap atau pintu yang terbuka, menyebabkan udara luar tetap berpotensi memasuki ruang pembelajaran.

Lebih membimbangkan apabila melibatkan aktiviti di luar bilik darjah.

Atas sebab itu, keputusan menutup sekolah di kawasan yang terjejas wajar dilihat sebagai langkah perlindungan, bukannya tindakan yang hanya perlu dibuat apabila bacaan IPU menghampiri paras 200 atau lebih.

KPM perlu mempertimbangkan tindakan yang lebih bersifat pencegahan supaya sekolah tidak menunggu sehingga keadaan mencapai tahap kritikal.

Artikel Berkaitan:

Pendekatan sedemikian juga perlu mengambil kira bahawa kesan pencemaran udara tidak semestinya dirasai sama oleh setiap pelajar.

Mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau lebih sensitif terhadap kualiti udara mungkin memerlukan perlindungan tambahan.

Sekiranya sekolah ditutup, kesinambungan pembelajaran pula perlu dirancang dengan segera.

Paling penting, ibu bapa perlu dimaklumkan lebih awal mengenai keputusan berkaitan persekolahan supaya mereka dapat membuat persediaan.

Keputusan menutup semua sekolah di Johor selama dua hari bermula esok susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh daerah memperlihatkan bahawa penutupan sekolah boleh menjadi sebahagian daripada langkah berjaga-jaga apabila keselamatan murid menjadi keutamaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!