Bukan sekadar pembiayaan, BSN Micro/i MADANI bantu usahawan mikro,kecil dan sederhana berkembang

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM – Dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat dan harga bahan mentah yang semakin mahal, ramai usahawan mikro berdepan cabaran besar untuk memastikan perniagaan mereka terus bertahan.

Bagi peniaga kecil, tekanan aliran tunai menjadi antara isu utama apabila mereka perlu menampung kos operasi harian, membeli stok dan pada masa sama menempuh cabaran dalam memenuhi permintaan pelanggan.

Keadaan itu turut dirasai oleh usahawan bandar yang memerlukan modal pusingan bagi memastikan perniagaan terus beroperasi.

Menyedari cabaran tersebut, kerajaan menerusi agenda MADANI terus memperkukuh sokongan kepada golongan usahawan mikro dengan menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan praktikal melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).

Inisiatif itu bukan sahaja membantu meningkatkan keterangkuman kewangan, malah membuka peluang kepada lebih ramai usahawan mendapatkan modal bagi perniagaan masing-masing.

Bagi pengasas Bondahaven, Dr. Tengku Nur Atiqah, pembiayaan mikro yang diterima menjadi pemangkin dalam mengukuhkan operasi pusat kesihatan dan kesejahteraan wanita yang diasaskannya.

Menurut beliau, Bondahaven yang ditubuhkan pada 2017 bermula sebagai pusat yang memberi fokus kepada penyusuan susu ibu sebelum berkembang menjadi jenama kesihatan wanita yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk fisioterapi wanita, rehabilitasi lantai pelvis, rawatan pranatal dan postnatal serta rawatan kesakitan badan.

Artikel Berkaitan:

“Cabaran terbesar kami adalah meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa banyak masalah kesihatan wanita sebenarnya boleh dirawat.”

“Selain itu, sebagai perniagaan yang menyediakan perkhidmatan berasaskan kepakaran, kami perlu sentiasa melabur dalam latihan kakitangan, teknologi serta memastikan piawaian perkhidmatan yang konsisten apabila berkembang ke lebih banyak lokasi,” katanya.

Justeru, kongsi Dr. Tengku Nur Atiqah, pembiayaan mikro yang diterima digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan termasuk menaik taraf fasiliti, membeli peralatan khusus rawatan wanita, menambah modal kerja dan memperkukuhkan aktiviti pemasaran.

Menurutnya, sebahagian dana turut digunakan bagi melatih tenaga kerja supaya dapat memberi perkhidmatan kepada lebih ramai wanita untuk menerima rawatan yang selamat dan berkualiti.

“Pembiayaan mikro ini memberi ruang kepada kami untuk berkembang dengan lebih tersusun dan yakin. Kami dapat memperluaskan kapasiti perkhidmatan, menambah baikpengalaman pelanggan serta membantu lebih ramai wanita mendapatkan rawatan yang sebelum ini sukar diakses.

"Selain pertumbuhan perniagaan, perubahan yang paling bermakna ialah impak kepada pelanggan kami. Hari ini, kami telah membantu ribuan wanita mendapatkan kelegaan daripada kesakitan, memulihkan fungsi lantai pelvis, mengatasi cabaran penyusuan dan meningkatkan kualiti hidup mereka," ujarnya.

Sementara itu, pengasas Telekung TCO, Nadiah Bani, berkata, pembiayaan mikro yang diterima banyak membantu perniagaan kelengkapan solat yang diusahakannya sejak 2016.

Beliau berkata, perniagaan yang pada awalnya dijalankan secara kecil-kecilan kini berkembang sehingga mempunyai 12 orang pekerja serta sebuah butik di Bangi selain platform jualan atas talian.

“Antara cabaran utama ialah memastikan stok sentiasa mencukupi terutamanya apabila permintaan meningkat. Selain itu, kos pembelian bahan mentah dan pengurusan aliran tunai juga menjadi cabaran yang perlu diurus dengan baik bagi memastikan operasi perniagaan berjalan lancar," tambahnya.

Nadiah memberitahu, pihak mereka menggunakan pembiayaan mikro yang diluluskan untuk membeli stok kain dan bahan mentah secara pukal untuk memenuhi permintaan pelanggan, sekali gus membantu memastikan operasi perniagaan dapat berjalan dengan lebih teratur dan efisien.

Katanya, bantuan berkenaan membolehkan syarikat meningkatkan kapasiti pembelian stok, memenuhi tempahan pelanggan dengan lebih baik serta mengurus aliran tunai secara lebih stabil.

“Ia memberi keyakinan kepada kami untuk merancang pertumbuhan perniagaan dengan lebih teratur dan berdaya saing,” katanya.

Pengasas Nurimah Lovely GRP Empire, Nurimah Nuridin turut memanfaatkan BSN Micro/i MADANI yang diterima dengan mengubah fokus perniagaannya daripada pusat urutan kepada menjual makanan berkhasiat bagi memenuhi keperluan gaya hidup sihat pelanggan.

Menurut beliau, pembiayaan mikro yang diperoleh banyak membantu meningkatkan operasi perniagaan termasuk pengurusan stok, pemasaran dan pengeluaran produk.

Nurimah yang telah mengusahakan perniagaan itu sejak 2018 berkata, proses permohonan pembiayaan BSN Micro/i MADANI juga berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama.

“Prosesnya memang cepat. Saya tidak sangka permohonan dapat diluluskan dalam tempoh yang singkat dan ia sangat membantu ketika perniagaan memerlukan modal tambahan.

“Bagi usahawan kecil seperti kami, akses kepada pembiayaan yang mudah dan cepat amat penting untuk memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan,” ujarnya.

Menurut beliau, BSN bukan sekadar menyediakan modal pembiayaan, malah turut membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih luas.

“BSN bukan hanya membantu dari segi kewangan, tetapi turut memperkenalkan kami kepada pelanggan berpotensi melalui pelbagai program dan penyertaan reruai.”

“Daripada situ, ramai pelanggan baharu mengenali produk kami dan sehingga hari ini kami masih menerima tempahan serta permintaan daripada rangkaian pelanggan yang diperkenalkan melalui BSN,” katanya.

Beliau menyifatkan BSN Micro/i MADANI sebagai antara inisiatif yang memberi impak besar kepada usahawan mikro kerana menyediakan sokongan menyeluruh yang membantu perniagaan berkembang dengan lebih yakin dan mampan.

Pembiayaan BSN Micro/i MADANI diwujudkan untuk menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan cepat kepada usahawan bagi membantu mereka memulakan, mengembangkan serta meningkatkan daya saing perniagaan.

Antara cabaran utama usahawan mikro ialah kekangan modal pusingan, peningkatan kos operasi, persaingan perniagaan yang semakin sengit serta keperluan untuk menyesuaikan perniagaan dengan perkembangan teknologi dan digital.

Justeru, BSN membantu dengan menyediakan pembiayaan yang mudah diakses, kadar pembiayaan yang berdaya saing serta proses permohonan yang ringkas bagi membolehkan lebih ramai usahawan meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Skim terbabit terbuka kepada semua golongan usahawan mikro dan peniaga kecil merangkumi pelbagai sektor perniagaan, termasuk usahawan baharu dan sedia ada.

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)  adalah tulang belakang ekonomi negara kerana sektor itu menyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peluang pekerjaan serta pertumbuhan aktiviti keusahawanan.

Justeru, beliau yang juga Presiden Persatuan Muamalat Malaysia (MMA) berkata, pembiayaan ditawarkan antara inisiatif penting dalam membantu memperkasa ekonomi rakyat khususnya usahawan mikro, penjaja kecil dan pekerja gig yang memerlukan suntikan modal bagi mengembangkan perniagaan.

Nuradli Ridzwan berkata, akses pembiayaan yang lebih mudah melalui inisiatif itu membolehkan golongan itu memperoleh modal kerja bagi membeli stok, menambah peralatan dan memperkukuh pemasaran termasuk menerusi platform digital.

"Usaha itu secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan isi rumah, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman tidak formal yang mengenakan kadar faedah tinggi," ujarnya.

Tambah beliau, prosedur permohonan yang ringkas, proses kelulusan pantas dan syarat yang fleksibel akan memberi peluang lebih luas kepada usahawan kecil mendapatkan bantuan kewangan untuk mengembangkan perniagaan.

“Pada masa sama, kadar pembiayaan rendah membantu mengurangkan tekanan kewangan selain memastikan aliran tunai perniagaan dapat diurus dengan lebih baik,” ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!