Perbicaraan bela diri kes bunuh Nhaveen ditangguh esok

GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan prosiding perbicaraan pembelaan empat lelaki yang didakwa membunuh remaja, T Nhaveen, kepada esok.
Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan dan menetapkan prosiding disambung pada 9.30 pagi esok selepas pihak pembelaan memohon penangguhan kerana memerlukan masa susulan penyerahan empat penyata saksi kepada pihak pendakwaan hari ini.
Peguam Maanveer Singh Dhillon yang mewakili keempat-empat tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan mempunyai masa yang terhad untuk bertemu dengan tertuduh di penjara bagi menyediakan penyata saksi berkenaan.
"Kita baru sahaja memuktamadkan penyataan saksi bertulis dan penyataan itu sudah siap. Kita akan serahkan kepada pihak pendakwan hari ini,” katanya.
Beliau berkata, pihak pendakwaan juga memerlukan masa untuk meneliti penyata berkenaan yang diserahkan hari ini sebelum prosiding pembelaan diteruskan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amri Johari dan Yazid Mustaqim Roslan, manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Maanveer Singh, R. Thevan dan Lim Sheng Zhe.
Pada 3 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 hingga 9 Okt serta 12 hingga 16 Oktober bagi perbicaraan kes bela diri empat lelaki yang didakwa membunuh Nhaveen, sembilan tahun lepas.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan J. Ragesuthan, 27, S. Gokulan, 27, dan dua lagi individu yang merupakan remaja ketika kejadian, untuk membela diri atas pertuduhan membunuh Nhaveen.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan mereka pada 3 Oktober 2023.
Panel hakim turut mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk peringkat pembelaan.
Keempat-empat tertuduh juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan rakan Nhaveen iaitu T Previin berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor, antara 11 malam hingga 12 tengah malam, 9 Jun 2017.
Nhaveen meninggal dunia pada 15 Jun 2017 selepas enam hari dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam kejadian berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
