Hospital Picaso, BD dan College of Radiology perkukuh rawatan kanser payudara

HOSPITAL Picaso, BD (Becton, Dickinson and Company) dan College of Radiology Malaysia baru-baru ini melancarkan kerjasama bagi memperkukuh keupayaan intervensi payudara serta penjagaan kanser payudara secara multidisiplin di Malaysia.
Kerjasama selama tiga tahun itu juga menyasarkan latihan kepada sekurang-kurangnya 100 pakar bedah payudara, pakar radiologi payudara dan radiografer menerusi pendidikan klinikal serta pembangunan kemahiran secara berstruktur.
Ia turut menyaksikan penubuhan BD Breast Academy Malaysia Chapter dengan kerjasama Hospital Picaso, yang akan menjadi platform khusus bagi penganjuran kelas lanjutan, bengkel amali, bimbingan klinikal, perbincangan kes, pembangunan tenaga pengajar, program pemerhatian klinikal dan pertukaran saintifik.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Picaso, Ahmad Lutfi berkata, nilai kerjasama itu melangkaui bengkel atau prosedur secara individu kerana penjagaan kanser payudara melibatkan rangkaian keputusan yang kompleks dan saling berkait sepanjang perjalanan pesakit.
“Nilai kerjasama ini melangkaui bengkel atau prosedur secara individu. Penjagaan kanser payudara melibatkan satu siri keputusan yang kompleks dan sangat saling berkait sepanjang perjalanan seseorang pesakit.
"Dengan membawa pendidikan klinikal ke dalam persekitaran yang benar-benar multidisiplin, kami membantu profesional penjagaan kesihatan memahami bagaimana keputusan pada satu peringkat mempengaruhi perkara yang berlaku seterusnya, di samping membina keupayaan yang boleh memperkukuh penjagaan payudara melangkaui institusi kami sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Hospital Picaso turut akan dibangunkan sebagai Breast Intervention Centre of Excellence dan hab latihan intervensi payudara di Malaysia.
Kerjasama berkenaan dilihat penting susulan cabaran penjagaan kanser payudara di negara ini apabila Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017–2021 menunjukkan 50.5 peratus kes kanser payudara wanita yang mempunyai peringkat diagnosis dikesan pada Tahap III atau IV.
Kanser payudara juga kekal sebagai kanser paling lazim dalam kalangan wanita Malaysia.
Pelan Hala Tuju Kementerian Kesihatan Malaysia ke arah Downstaging of Breast Cancer in Malaysia 2025–2035 pula menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 60 peratus kanser payudara invasif dikesan pada peringkat awal, penilaian diagnostik diselesaikan dalam tempoh 60 hari dan sekurang-kurangnya 80 peratus pesakit melengkapkan rawatan multimodaliti.
Sejajar keperluan itu, kerjasama berkenaan bertujuan membina ekosistem pendidikan klinikal yang lebih mampan, di samping memperkukuh hubungan antara profesional penjagaan kesihatan yang terlibat sepanjang proses daripada diagnosis hingga rawatan.
Latihan di bawah Malaysia Chapter itu akan merangkumi pengimejan payudara, Core Needle Biopsy (CNB), Vacuum-Assisted Breast Biopsy (VABB), biopsi berpandukan imej, penyetempatan lesi dan intervensi payudara invasif minimum, selain pembuatan keputusan klinikal serta amalan terkini dalam pengurusan kanser payudara.
Profesional penjagaan kesihatan juga akan mendapat akses kepada pembelajaran praktikal menerusi latihan berasaskan simulasi, perancangan prosedur, pemerhatian prosedur secara langsung atau rakaman, perbincangan kes secara multidisiplin serta pendedahan kepada klinik payudara dan laluan pesakit.
Antara pemerhatian klinikal yang dirancang di Hospital Picaso termasuk prosedur CNB dan VABB berpandukan ultrabunyi serta teknik penyetempatan lesi.
Selain latihan berkaitan prosedur, kerjasama itu akan menghimpunkan pakar radiologi payudara, pakar bedah payudara, pakar onkologi, pakar patologi serta profesional penjagaan kesihatan lain menerusi perbincangan lembaga tumor secara multidisiplin, semakan kes bersama dan aktiviti pendidikan merentas kepakaran.
Usaha itu bertujuan meningkatkan penyelarasan dalam diagnosis, perancangan rawatan dan pengurusan pesakit, selain memperkukuh laluan rujukan khususnya antara pakar radiologi payudara dan pakar bedah payudara bagi menyokong pembuatan keputusan klinikal yang lebih tepat pada masanya, penjagaan bersepadu dan akses kepada rawatan bersesuaian.
Presiden College of Radiology Malaysia, Dr Farhana Fadzli berkata, intervensi payudara memainkan peranan penting antara pengesanan kelainan dan penentuan langkah seterusnya bagi pesakit.
“Intervensi payudara berada pada titik penting antara mengesan sesuatu kelainan dan menentukan perkara yang seterusnya bagi pesakit.
"Kualiti pengimejan, pensampelan tisu dan penyetempatan, bersama komunikasi berkesan antara kepakaran, boleh mempengaruhi keputusan pada peringkat seterusnya dalam laluan penjagaan.
"Platform berstruktur untuk latihan, bimbingan dan pembelajaran multidisiplin membolehkan profesional penjagaan kesihatan terus memperkukuh keupayaan ini sambil belajar antara satu sama lain,” katanya.
Program itu akan menggunakan tenaga pengajar daripada sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta, dengan penyertaan pakar radiologi payudara dan pakar bedah payudara berpengalaman dari Malaysia dalam program pendidikan yang direka berdasarkan amalan klinikal tempatan dan keperluan pesakit.
Ia turut menyokong pembangunan tenaga pengajar dan mentor pada masa depan apabila pakar klinikal Hospital Picaso berpeluang menyertai bengkel serta kelas lanjutan sebagai tenaga pengajar, menyediakan bimbingan klinikal dan menyumbang kepada pembelajaran rakan sebaya di Malaysia serta peringkat serantau.
Malaysia Chapter itu dibangunkan berasaskan Southeast Asia BD Breast Academy yang ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu dan telah melatih lebih 100 profesional penjagaan kesihatan menerusi bengkel, kelas lanjutan, program pertukaran klinikal dan inisiatif perkongsian ilmu.
Menerusi Malaysia Chapter baharu itu, BD akan bekerjasama dengan Hospital Picaso dan College of Radiology Malaysia untuk menyediakan platform pendidikan profesional berterusan yang lebih tersusun di peringkat tempatan, selain menghubungkan profesional penjagaan kesihatan Malaysia dengan kepakaran lebih luas di rantau ini.
Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar, Asia Tenggara dan Pakistan, BD, Lu Liang berkata, transformasi penjagaan kesihatan bukan didorong teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama kukuh, profesional penjagaan kesihatan yang diperkasa dan komitmen bersama untuk meningkatkan hasil kepada pesakit serta komuniti.
“Transformasi penjagaan kesihatan bukan didorong teknologi semata-mata. Ia memerlukan kerjasama kukuh, profesional penjagaan kesihatan yang diperkasa dan komitmen bersama untuk meningkatkan hasil kepada pesakit dan komuniti.
"Menerusi BD Breast Academy Malaysia Chapter, kami mahu mewujudkan platform mampan yang membolehkan profesional penjagaan kesihatan membina kemahiran praktikal, belajar daripada pakar dan rakan sebaya, dan seterusnya membantu memperkukuh keupayaan intervensi payudara di seluruh Malaysia,” katanya.
Kerjasama itu turut merangkumi simposium dan forum pendidikan tahunan, perbincangan meja bulat multidisiplin, bimbingan klinikal, pembangunan tenaga pengajar serta bengkel bersama di peringkat tempatan dan serantau.
Di luar sesi latihan individu, ketiga-tiga pihak menyasarkan pembangunan rangkaian profesional penjagaan kesihatan secara berterusan bagi membolehkan perkongsian ilmu, bimbingan rakan sebaya dan sokongan terhadap amalan intervensi payudara yang lebih konsisten di seluruh Malaysia.
Memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani di Hotel Sheraton Petaling Jaya sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, susulan penganjuran MDT Series: Early Breast Cancer 2026 oleh Hospital Picaso yang menghimpunkan pakar daripada bidang pembedahan, onkologi, radiologi, patologi, genetik dan bidang penjagaan kanser payudara lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
