HLB Islamic perkasa celik kewangan mahasiswa

Duta pelajar yang dilantik memulakan tempoh perkhidmatan menerusi sesi pembangunan kemahiran pada majlis pelancaran rasmi yang berlangsung di Menara Hong Leong.
Duta pelajar yang dilantik memulakan tempoh perkhidmatan menerusi sesi pembangunan kemahiran pada majlis pelancaran rasmi yang berlangsung di Menara Hong Leong.
A
A
A

RISIKO masalah kewangan dalam kalangan golongan muda mendorong HLB Islamic memperkukuh usaha pendidikan kewangan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), susulan golongan berkenaan menyumbang 15 peratus daripada keseluruhan kes insolvensi dalam tempoh lima tahun lalu.

Menerusi langkah itu, HLB Islamic memperkenalkan inisiatif HLB @ Campus dengan melantik 24 duta pelajar daripada lapan IPT tempatan bagi memperluas kesedaran mengenai pengurusan kewangan dalam kalangan mahasiswa.

HLB Islamic menerusi satu kenyataan pada Rabu berkata, inisiatif berkenaan dilancarkan menjelang pembentangan Belanjawan 2027 yang dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi golongan muda.

Menurut HLB Islamic, duta pelajar terbabit akan menerajui pelbagai aktiviti jangkauan literasi kewangan di institusi masing-masing menerusi program secara bersemuka, platform digital dan bimbingan kerjaya.

“Pendekatan ini bertujuan memberikan pendedahan praktikal kepada mahasiswa mengenai pengurusan kewangan serta membantu mereka membentuk tabiat kewangan yang lebih terancang sejak di bangku pengajian.

“Ia sekali gus diharap dapat membantu golongan muda membina asas kewangan yang kukuh bagi menyokong kesejahteraan diri dan keluarga dalam jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

HLB Islamic menjelaskan, HLB @ Campus menyediakan mahasiswa dengan pengetahuan, sumber dan sokongan rakan sebaya bagi membantu mereka membentuk tabiat pengurusan kewangan yang lebih bijak sejak awal.

Ketua Pegawai Eksekutif HLB Islamic, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, pendidikan kewangan pada peringkat awal penting bagi membentuk asas pengurusan harta yang kukuh dan berterusan.

“Pengurusan harta yang mampan merupakan satu perjalanan yang dirancang dengan teliti dan berterusan sepanjang hayat.

Artikel Berkaitan:

“Ia perlu bermula seawal di bangku sekolah lagi. Melalui HLB @ Campus, kami memperkasakan generasi baharu ini untuk mula mengambil tanggungjawab terhadap kewangan mereka sendiri pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu turut berpandukan kerangka Hayat @ HLB Islamic yang merangkumi lima tonggak pengurusan kekayaan berteraskan prinsip Syariah.

“Dengan menerapkan disiplin kewangan yang kukuh sejak usia muda, kami membantu golongan belia bukan sahaja dari segi kesejahteraan ekonomi mereka sendiri, malah membina, memelihara dan mewariskan kekayaan yang berkekalan untuk generasi akan datang,” katanya.

HLB @ Campus turut mencerminkan komitmen HLB Islamic untuk memperluas literasi kewangan dalam komuniti, memperkasa pembangunan golongan muda dan membentuk generasi yang lebih beretika serta celik kewangan.

Usaha itu merupakan kesinambungan kepada program jangkauan literasi kewangan yang dilaksanakan sebelum ini, termasuk siri bengkel HLB DuitSmart dan Celik Muamalat.

Menerusi platform ini, HLB Islamic secara kumulatif telah menjangkau lebih 50,000 peserta di seluruh negara dengan menyediakan pengetahuan asas mengenai literasi kewangan, panduan kesedaran terhadap penipuan dan pendidikan perbankan Islam kepada sekolah, universiti, rakan kongsi korporat serta komuniti setempat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!