Kerajaan tolak pertindihan, perkasa undang-undang sedia ada tangani 3R

Negara sememangnya telah mempunyai pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan 3R, ucapan kebencian dan keharmonian sosial. Foto hiasan/Bernama
Negara sememangnya telah mempunyai pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan 3R, ucapan kebencian dan keharmonian sosial. Foto hiasan/Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kerajaan berpandangan cabaran utama dalam menangani isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) serta ucapan kebencian bukan disebabkan ketiadaan peruntukan undang-undang, sebaliknya keberkesanan penguatkuasaan yang perlu diperkasa secara lebih tegas dan konsisten.

Kementerian Perpaduan Negara berkata, negara sememangnya telah mempunyai pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan 3R, ucapan kebencian dan keharmonian sosial.

Antaranya termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta peruntukan berkaitan dalam Kanun Keseksaan di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi.

Menurut kementerian, larangan terhadap diskriminasi secara asasnya turut termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

“Oleh itu, penubuhan satu lagi institusi atau perundangan baharu perlu dilihat secara menyeluruh agar tidak berlaku pertindihan fungsi, bidang kuasa dan mekanisme penguatkuasaan.

“Pada pandangan kementerian, cabaran utama pada ketika ini bukanlah ketiadaan peruntukan undang-undang berkaitan 3R, tetapi sejauh mana peruntukan sedia ada dapat dikuatkuasakan secara tegas dan konsisten,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara akan menilai secara menyeluruh keberkesanan peruntukan dan mekanisme penguatkuasaan undang-undang berkaitan 3R dan ucapan kebencian.

Jawatankuasa berkenaan turut melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Antara perkara yang akan diteliti termasuk takrifan 3R dan ucapan kebencian, bidang kuasa, pertindihan peruntukan serta keberkesanan tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi melihat peranan dan penyelarasan yang lebih berkesan dalam menangani isu keharmonian sosial.

Kementerian turut mencadangkan kepada SUHAKAM supaya seorang Pesuruhjaya Keharmonian dilantik bagi memberi fokus khusus terhadap aspek pemantauan dan advokasi keharmonian sosial daripada perspektif hak asasi manusia.

Selain pendekatan perundangan, kementerian berkata, usaha memperkukuh ekosistem intervensi awal dan mediasi komuniti akan terus dilaksanakan sebagai mekanisme penyelesaian konflik di peringkat akar umbi.

Sehingga kini, seramai 617 Mediator Komuniti telah ditauliahkan terdiri daripada pegawai perpaduan, wakil pertubuhan bukan kerajaan, wakil penganut agama serta anggota Kawasan Rukun Tetangga.

Bagi tempoh 2023 hingga 2026, sebanyak 521 kes berkaitan komuniti dan kejiranan berjaya diselesaikan melalui mediasi tanpa melibatkan proses mahkamah.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan konflik yang boleh diselesaikan melalui rundingan dan mediasi tidak terus berkembang menjadi pertikaian yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan menyediakan Pelan Tindakan Memperkasa Ekosistem Keharmonian Sosial Negara.

Pelan berkenaan akan menggabungkan aspek pencegahan, intervensi awal, mediasi, penguatkuasaan dan pemantauan secara lebih tersusun serta bersepadu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!