Potensi Terengganu dalam Ekonomi Altitud Rendah

Terengganu tidak perlu mengejar setiap teknologi baharu sebaliknya cuma perlu mengenal pasti industri berpotensi dan cukup bijak menggunakan kekuatan yang tersedia.
Terengganu tidak perlu mengejar setiap teknologi baharu sebaliknya cuma perlu mengenal pasti industri berpotensi dan cukup bijak menggunakan kekuatan yang tersedia.
A
A
A

EKONOMI Altitud Rendah atau Low Altitude Economy (LAE) mungkin masih baharu kepada sebahagian daripada kita. Secara mudah, ia merujuk kepada aktiviti ekonomi dalam ruang udara altitud rendah yang digerakkan oleh teknologi seperti dron, sistem pesawat tanpa pemandu dan pesawat electric vertical take-off and landing (eVTOL).

Namun, LAE bukan sekadar dron atau pesawat. Di belakangnya wujud ekosistem yang melibatkan logistik, penyelenggaraan, penyelidikan dan pembangunan, latihan, data, keselamatan serta perkhidmatan sokongan.

Pada 2 hingga 5 September lalu, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) berpeluang mengikuti delegasi Terengganu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, ke Low-Altitude Economy Development Conference 2026 di Wuhu, China.

Persidangan itu memberi peluang untuk melihat bagaimana LAE sedang dibangunkan sebagai industri baharu. Yang menarik bukan semata-mata teknologi, tetapi bagaimana industri, universiti, penyelidikan, pembangunan bakat, pasaran dan pengawal selia bergerak dalam satu ekosistem.

Pengalaman di Wuhu menunjukkan pembangunan LAE tidak bermula dengan hanya membeli teknologi, sebaliknya mengenal pasti masalah dan membina pasaran untuk menyelesaikannya.

Ia digerakkan melalui projek rintis atau proof of concept (POC), latihan, infrastruktur, piawaian keselamatan, R&D, pembiayaan dan penglibatan industri tempatan. Kejayaan LAE bergantung kepada keupayaan membina keseluruhan rantaian nilai.

Perkembangan ini juga semakin mendapat perhatian di Malaysia. Pada Ogos lalu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) membuka konsultasi awam terhadap cadangan Rangka Kerja Ekonomi Altitud Rendah Malaysia. National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pula melihat gabungan sektor aeroangkasa dan LAE berpotensi menjana sekitar RM100 bilion menjelang 2035. Industri aeroangkasa Malaysia merekodkan RM35.2 bilion pada 2025.

Suasana dalam Low Altitude Economy Development Conference 2026 di Wuhu, China.
Suasana dalam Low Altitude Economy Development Conference 2026 di Wuhu, China.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks Terengganu, usaha melihat Kerteh sebagai aset strategik telah mempunyai asas. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, sebelum ini menyatakan keterbukaan Kerajaan Negeri untuk meneroka potensi pembangunan Lapangan Terbang Kerteh, termasuk industri sokongan aeroangkasa dan MRO pesawat ringan.

Hala tuju ini memberi ruang kepada portfolio berkaitan untuk memperincikan peluang ekonomi baharu yang sesuai dengan kekuatan negeri.

Dalam kerangka inilah LAE wajar dinilai, bukan sebagai keputusan yang telah dibuat, tetapi sebagai potensi awal dari sudut pasaran, pelaburan, teknologi, keselamatan dan manfaat kepada rakyat.

Kerteh mempunyai kelebihan kerana kita tidak bermula daripada kosong. Selama beberapa dekad, kawasan ini berkembang bersama industri minyak, gas dan petrokimia. Daripadanya lahir ekosistem kejuruteraan, penyelenggaraan, fabrikasi, pemeriksaan teknikal, keselamatan dan tenaga kerja berkemahiran.

Kerteh juga mempunyai lapangan terbang dengan landasan kira-kira 1.35 kilometer, selain apron, terminal, hangar dan kemudahan penerbangan sedia ada.

Kedudukannya berhampiran kawasan industri Kerteh-Paka, rangkaian logistik dan pengangkutan serta menghadap Laut China Selatan. Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut menambah kesalinghubungan kawasan ini.

Ruang di dalam dan sekitar lapangan terbang pula boleh dirancang secara bersepadu bagi aeroangkasa, MRO, pendidikan dan latihan, inovasi, logistik, penyelidikan serta LAE.

Kekuatan Kerteh bukan sekadar kewujudan lapangan terbang, tetapi kedudukannya bersebelahan dengan ekosistem industri matang seperti minyak dan gas, tenaga teknikal, akses maritim, aktiviti luar pesisir, jaringan jalan dan rel serta institusi pendidikan dan TVET.

Delegasi Terengganu menghadiri Low Altitude Economy Development Cenference 2026 di Wuhu, China.
Delegasi Terengganu menghadiri Low Altitude Economy Development Cenference 2026 di Wuhu, China.

LAE pula mempunyai aplikasi yang dekat dengan keperluan rakyat. Dalam industri minyak dan gas, teknologi udara tanpa pemandu boleh membantu pemeriksaan aset. Dalam sektor maritim, ia boleh menyokong pemantauan pesisir serta operasi mencari dan menyelamat.

Ketika banjir, teknologi sama boleh membantu pemetaan kawasan terjejas, komunikasi dan penghantaran bekalan. Ia turut berpotensi dalam logistik perubatan dan sektor pertanian.

Teknologi bukan matlamat akhir; nilainya ialah pada masalah yang dapat diselesaikan dan kegiatan ekonomi yang dapat diwujudkan.

Dalam perspektif Islam, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jathiyah ayat 13 bahawa “Dia memudahkan untuk kamu segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, semuanya sebagai kurniaan daripada-Nya.”

Konsep taskhir memberi kerangka bahawa teknologi perlu dinilai berdasarkan manfaat, keselamatan dan kemudaratan yang dapat dielakkan.

Sekiranya ekosistem LAE berkembang, peluang ekonominya tidak berhenti kepada pembelian teknologi. Ia boleh membuka aktiviti MRO, latihan, R&D, analisis data, perisian dan perkhidmatan teknikal.

Syarikat tempatan yang telah membina kompetensi melalui industri minyak dan gas juga berpotensi memasuki rantaian nilai baharu dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran.

Dari sudut pelaksanaan, Terengganu telah mempunyai asas. TATI University College (TATIUC) dan TESDEC boleh menyokong pembangunan bakat, TVET dan kemahiran teknikal, manakala TAJDID Corporation boleh membantu aspek polisi, pembangunan sistem dan kerangka pelaksanaan.

Mohd Nurkhuzaini melawat booth pameran
Mohd Nurkhuzaini melawat booth pameran

Entiti negeri lain pula boleh berperanan dalam pelaburan, industri, penyelidikan dan pemudahcaraan. Cabarannya ialah menyelaraskan semuanya dalam satu hala tuju.

Tadbir urus yang jelas juga penting kerana LAE melibatkan ruang udara, keselamatan, data, infrastruktur, pelaburan dan bidang kuasa pelbagai pihak. Kerajaan Negeri tidak boleh bergerak bersendirian. Kerjasama perlu dibentuk bersama Kerajaan Persekutuan, CAAM, kementerian dan agensi berkaitan, selain institusi pendidikan, pelabur dan pemain industri.

Justeru, langkah seterusnya bukan tergesa-gesa mengisytiharkan Kerteh sebagai hab LAE. Apa yang lebih penting ialah membangunkan Pelan Pembangunan Bersepadu Kerteh Airport yang menilai aset penerbangan, potensi tanah sekitar, industri sedia ada, aeroangkasa dan LAE, logistik, bakat, pelaburan serta model tadbir urus.

Pelaksanaannya perlu dibuat secara berfasa dengan mengutamakan low-hanging fruit terlebih dahulu.

Terengganu tidak perlu mengejar setiap teknologi baharu. Tetapi kita perlu cukup awal mengenal pasti industri berpotensi dan cukup bijak menggunakan kekuatan yang tersedia.

Kerteh mempunyai asas untuk diterokai agar mampu menarik pelaburan, mengembangkan industri tempatan, mewujudkan pekerjaan dan membantu menyelesaikan keperluan sebenar rakyat Terengganu.

*Dr Zulhimi Abd Rahman ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Peningkatan Kualiti dan Produktiviti. Bidang kepakaran beliau merangkumi pengukuran kualiti dan produktiviti, sistem pengurusan kualiti Islam serta pengurusan dan perancangan strategik.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!