Ronaldo akhirnya bersuara, ‘janji’ jadi punca tinggalkan skuad Portugal

Cristiano Ronaldo - Foto: AFP
Cristiano Ronaldo - Foto: AFP
A
A
A

CRISTIANO Ronaldo akhirnya tampil mendedahkan secara terperinci punca sebenar tindakannya meninggalkan kem Portugal selepas berlaku keretakan hubungan dengan ketua jurulatih, Jorge Jesus.

Bintang berusia 39 tahun itu mendakwa Jesus memungkiri janji berhubung perancangan minit permainan selain gagal menunaikan persetujuan untuk menjelaskan perkara tersebut secara terbuka kepada media.

Ronaldo berkata, selepas Piala Dunia 2026, beliau pada awalnya bersedia untuk meneruskan khidmat bersama Portugal selepas dipujuk Presiden Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF).

Malah, katanya, Jesus turut membentangkan pelan khusus mengenai peranannya dalam pasukan termasuk janji untuk diturunkan pada perlawanan pertama dan terakhir selain pengurusan kecergasan menerusi tiga atau empat pertukaran pemain setiap perlawanan.

Namun, perancangan itu mula berubah apabila Jesus memintanya beraksi menentang Norway sedangkan Ronaldo sebelum itu dijadualkan hanya bermain pada perlawanan berikutnya di Estadio do Dragao.

"Dia memberitahu saya supaya bersedia kerana saya akan bermain selama 30 minit.

"Semua orang tahu apa yang berlaku selepas itu. Saya melakukan pemanasan badan selepas separuh masa, melihat masa terus berjalan tetapi tidak dipanggil masuk.

"Jurulatih sudah memungkiri janjinya kepada saya," katanya.

Ronaldo berkata, selepas perlawanan itu, satu pertemuan diadakan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan dengan kehadiran pengarah sukan Al Nassr, Simao Coutinho.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka bersetuju Jesus akan menjelaskan perkara sebenar pada sidang media selepas apa yang dipersetujui secara tertutup sebelum itu.

Katanya, Jesus sepatutnya menjelaskan bahawa Ronaldo tidak pernah meminta untuk diturunkan bagi tempoh tertentu sebaliknya pelan tersebut dicadangkan sendiri oleh jurulatih.

"Dia juga sepatutnya mengakui bahawa menjadi satu kesilapan apabila meminta saya melakukan pemanasan badan tetapi akhirnya tidak menurunkan saya.

"Bagaimanapun, sidang media itu berlangsung dengan cara yang berbeza. Sikapnya langsung tidak menggambarkan apa yang kami bincangkan sehari sebelumnya.

"Saya mendengar kenyataan dan tahap agresif yang saya rasa tidak layak terima. Itu adalah kali kedua dia memungkiri janjinya kepada saya," katanya.

Ronaldo berkata, keadaan itu menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkan kem Portugal kerana tidak mahu menunggu satu lagi janji yang mungkin tidak ditunaikan.

Bagi Ronaldo, kejujuran menjadi perkara paling penting dalam mana-mana hubungan, termasuk antara pemain dan jurulatih.

"Saya mahu orang bercakap benar dengan saya. Walaupun kebenaran itu menyakitkan, saya tetap mahu mendengarnya.

"Saya sudah memberitahu Presiden FPF dan jurulatih bahawa jika mereka tidak mahu saya berada di sana, mereka hanya perlu mengatakannya. Apa yang diperlukan hanyalah kejujuran," katanya.

Bagaimanapun, Ronaldo turut mengakui kesilapannya meninggalkan kem pasukan dan memohon maaf kepada rakan sepasukan serta rakyat Portugal.

"Saya juga berhutang permohonan maaf kepada rakan sepasukan kerana meninggalkan kem.

"Walaupun kepercayaan terhadap kata-kata jurulatih telah musnah, saya tetap tidak sepatutnya berbuat demikian. Tanggungjawab itu sepenuhnya milik saya.

"Saya sekali lagi memohon maaf kepada rakyat Portugal. Saya merasakan kehadiran saya selepas itu hanya akan memberi kesan buruk kepada pasukan.

"Jadi, seperti yang saya katakan sebelum ini, jika saya tidak merasakan diri saya berguna, saya akan mengemas beg dan pergi," katanya.

Ronaldo turut menegaskan beliau bersedia menerima sebarang tindakan disiplin daripada FPF susulan keputusan meninggalkan kem berkenaan.

"Akibat daripada tindakan saya perlu dinilai dan dihukum oleh FPF. Saya faham bahawa tiada keadaan yang boleh meringankan hukuman itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!