Belanjawan 2027: Sinergi awam-swasta beri peluang seimbang dalam TVET

Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam bidang TVET bagi memastikan peluang pendidikan kemahiran dapat dinikmati secara lebih seimbang di seluruh negara. - Gambar hiasan
Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam bidang TVET bagi memastikan peluang pendidikan kemahiran dapat dinikmati secara lebih seimbang di seluruh negara. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH – Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan peluang pendidikan kemahiran dapat dinikmati secara lebih seimbang di seluruh negara.

Pengerusi Kumpulan Senior dan Pengasas TVET Swasta Malaysia, Nordin Abdul Malek berkata, pendekatan tersebut penting khususnya dalam membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan akses kepada pendidikan kemahiran.

Menurutnya, isu utama bukan semata-mata melibatkan jumlah peruntukan yang besar, sebaliknya bagaimana dana tersebut diurus dan disalurkan secara cekap supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.

“Dalam pengurusan TVET, apa juga bajet yang diluluskan hendaklah dipastikan dapat memperkukuh sinergi antara sektor awam dan swasta.

“Ini membolehkan lebih ramai rakyat, terutama golongan miskin, mendapat peluang mengikuti pendidikan kemahiran secara seimbang di semua peringkat dan di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nordin berkata, walaupun institusi latihan kemahiran swasta (ILKS) dipercayai hanya menerima sekitar 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan kerajaan bagi sektor berkenaan, ia tetap memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang kepada pelajar mengikuti bidang kemahiran.

Bagaimanapun, katanya, kelemahan dari aspek pengurusan serta ketidakselarasan program dengan keperluan masyarakat dan industri boleh menjejaskan usaha tersebut.

“Apabila corak pengurusan tidak memenuhi keperluan masyarakat dan majikan, ia menghalang hasrat mereka untuk menuntut ilmu serta mengubah nasib pada masa depan.

“Akibatnya, banyak program dan dana yang disediakan menjadi tidak berkesan serta menambahkan keresahan dalam kalangan pengusaha dan pelajar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan pendidikan juga perlu memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan di sekolah, termasuk penyediaan kamera litar tertutup (CCTV), kemudahan pembelajaran moden serta usaha mengurangkan tekanan dalam kalangan guru.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan konsep sekolah selamat dan sejahtera terus diperkasakan.

Sementara itu, Nordin yang juga Pengerusi Eksekutif Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) berkata, sektor pertanian turut perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, produktiviti serta pembangunan modal insan dalam mendepani cabaran global.

Katanya, usaha menaik taraf kemudahan dan infrastruktur pertanian, meningkatkan kepakaran serta membangunkan sumber manusia dalam bidang pertanian moden perlu menjadi antara keutamaan.

“Tekanan emosi dalam kalangan petani semakin meningkat apabila mereka berdepan risiko kerugian, peningkatan kos operasi dan beban hutang.

“Keadaan ini turut menyebabkan minat generasi muda untuk menyertai sektor pertanian semakin berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan menangani isu tersebut boleh menjejaskan keterjaminan makanan negara susulan cabaran perubahan iklim, peningkatan kos pengeluaran dan ketegangan geopolitik.

Jelasnya, kerajaan juga perlu memperkukuh peranan usahawan tani tempatan sebagai pengeluar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.

“Belanjawan ini diharap memberi fokus kepada keperluan asas rakyat seperti peluang pembiayaan, TVET, peningkatan kemudahan dan kesejahteraan sekolah serta pembangunan infrastruktur, kemahiran dan ilmu pengetahuan bagi menghadapi cabaran keterjaminan makanan pada masa hadapan.

“Jika Belanjawan 2027 gagal memperlihatkan perancangan yang berkesan serta mampu meredakan keresahan dan tekanan rakyat, ia tidak akan dapat membantu menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu juga dibimbangi memberi kesan terhadap tahap kepercayaan serta sokongan rakyat kepada Kerajaan Madani menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!