Keluarga bimbang warga emas hilang sejak Ahad

KULIM - Seorang warga emas gagal dikesan sejak dua hari lalu selepas keluar menaiki motosikal dari rumahnya di Kampung Air Puteh, Serdang, Bandar Baharu dipercayai menuju ke daerah ini, pada Ahad.
Anak mangsa, Syazwani Abdul Aziz, 30, berkata, usaha mencari bapanya, Abdul Aziz Ali, 67, sudah dilakukan ahli keluarga, namun masih belum membuahkan hasil.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana bapanya berdepan masalah ingatan.
"Pada jam lebih kurang 9 pagi Ahad ayah keluar dari rumah menaiki motosikal jenis skuter Avantis warna kuning kelabu bernombor pendaftaran PPK8571 ke kedai berhampiran," katanya.
Syazwani berkata, selepas bapanya tidak pulang ke rumah, mereka mula membuat pencarian di lokasi kemungkinan dia berada namun tidak menjumpainya.
"Penduduk kampung memaklumkan ayah ada memberitahu mereka bahawa dia mahu ke Kulim selepas itu.
"Kemungkinan ayah balik ke rumah dulu tukar baju sebab baju yang dipakai pagi tu ada di rumah," katanya.
Jelasnya, tiada sesiapa di rumah ketika kejadian kerana kakak menemani ibunya mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Lubuk Buntar manakala adiknya keluar bekerja.
Menurutnya, secara kebiasaan, bapanya hanya keluar ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat berjemaah.
"Kami ada mendapat beberapa maklumat kemungkinan keberadaan ayah di Kulim termasuk berdekatan sebuah bank dan cuba buat pencarian di kawasan berkenaan, tetapi belum menjumpainya sehingga kini," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Syazwani di talian 011-26631311.
Susulan itu, satu laporan polis berhubung kehilangan warga emas tersebut telah dibuat di Balai Polis Serdang, Daerah Bandar Baharu, Kedah pada pagi Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

