Nur Bahiyah hilang sejak 15 Ogos

Nur Bahiyah
Nur Bahiyah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis sedang mengesan seorang wanita berusia 23 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Jalan Masjid Bukit Kandis, Kuala Nerus sejak 15 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kehilangan mangsa, Nur Bahiyah Ahmad Shukri, disedari bapanya pada jam 5.30 pagi selepas mendapati anaknya tiada di rumah.

Menurut Azli, bapa mangsa turut gagal menghubungi anaknya sebelum bertindak mencarinya di sekitar Stesen Bas Kuala Terengganu, namun mangsa gagal ditemui.

“Laporan berhubung kes orang hilang (OH) itu kemudiannya dibuat oleh bapa mangsa di Balai Polis Gong Badak pada pagi 13 September.

“Sejak laporan dibuat sehingga kini, mangsa masih belum pulang ke rumah dan masih gagal dikesan.

“Mangsa mempunyai peranti komunikasi, namun panggilan yang dibuat tidak dijawab,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Azli berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH) dan pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung mangsa supaya segera tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Rosfan Mohamed di talian 013-4895548,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan maklumat pengecaman, mangsa berkulit hitam manis, berambut lurus berwarna hitam paras bahu, berhidung besar, berbibir nipis, bertudung serta mempunyai ketinggian 153 sentimeter dengan berat badan 43 kilogram.

Artikel Berkaitan:

Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai blaus hitam berlengan panjang, seluar palazzo berwarna coklat, tudung berwarna coklat, selipar kelabu, beg tangan berwarna kelabu serta membawa ‘teddy bear’ (patung beruang) kecil berwarna kelabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!