Penjawat awam ditahan SPRM disyaki salah guna kuasa

KOTA KINABALU - Seorang penjawat awam ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap yang melibatkan 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 12 Oktober 2026 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Keningau, pada Selasa.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an sebelum itu telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Keningau, kira-kira jam 4 petang, Isnin.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2024.
Suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukan untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap melibatkan kesemua projek kerajaan yang dilaksanakan sebuah syarikat dipercayai milik salah seorang ahli keluarganya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
