[VIDEO] Kenderaan mewah milik warga asing antara 107 disita JPJ
BUTTERWORTH - Kenderaan mewah milik warga asing antara 107 yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Op Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dilaksanakan sejak 16 Jun lalu.

Antara yang disita adalah Toyota Alphard, Toyota Land Cruiser dan Toyota Hilux.
Pengarah JPJ Pulau Pinang berkata, Zulkifly Ismail berkata, operasi khas itu dijalankan secara berterusan bagi membanteras kegiatan warga asing yang memandu atau mengendalikan kenderaan tanpa lesen memandu yang sah di bawah undang-undang.
Menurutnya, operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada pemilik kenderaan yang didapati membenarkan atau menyerahkan kenderaan mereka untuk dipandu oleh individu yang tidak memiliki lesen memandu yang sah.
"Terdapat juga warga asing yang memiliki lesen memandu yang sah dan mereka tidak dikenakan sebarang tindakan. Penguatkuasaan hanya diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
“Kita juga mengesan ada warga asing yang membeli motosikal menggunakan nama warga tempatan selain menyewa kenderaan daripada pemilik tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat JPJ di Seberang Jaya, di sini pada Khamis.

Tambah beliau, sepanjang operasi daripada 16 Jun hingga 30 Julai, sebanyak 8,458 kenderaan yang dipandu warga asing telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 317 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan, 5,87 notis dikeluarkan dan 107 kenderaan disita,” ujarnya.
Beliau menambah, penglibatan pemandu warga asing yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dipandang serius kerana bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemandu, pemilik kenderaan atau syarikat pengangkutan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai tindakan terhadap pemilik kenderaan, beliau berkata, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, bukan sahaja pemandu warga asing yang tidak memiliki lesen memandu sah dikenakan tindakan malah pemilik kenderaan juga boleh disaman kerana membenarkan individu tidak layak memandu kenderaan mereka.
“Selain dikenakan saman kerana memandu tanpa lesen, kenderaan yang digunakan juga akan disita.
“Dalam operasi ini, kita turut mengesan kenderaan mewah dipandu warga asing. Ada yang merupakan pemilik sendiri dan ada juga milik warga tempatan,” katanya.

Menurutnya, bagi kenderaan mewah yang dimiliki sendiri, kebanyakannya melibatkan warga asing yang bekerja sebagai golongan profesional atau ahli perniagaan.
Beliau berkata, antara warga asing yang dikesan memandu tanpa lesen sah ialah dari China dan Myanmar.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan statistik penguatkuasaan sejak awal tahun menunjukkan sebanyak 5,874 motosikal telah diperiksa dengan 478 daripadanya diambil tindakan manakala 154 motosikal disita.
"Bagi kenderaan persendirian pula, sebanyak 4,978 kereta diperiksa dengan 154 diambil tindakan manakala 18 kereta disita.
"Selain itu, empat kenderaan barangan turut disita membabitkan kesalahan sama," tambahnya.
Beliau berkata, mana-mana warga asing yang ingin memandu di Malaysia wajib memiliki lesen memandu yang sah, sama ada lesen memandu Malaysia atau permit memandu antarabangsa yang diperoleh mengikut prosedur ditetapkan sebelum memasuki negara ini.
"Op Khas PeWA akan diteruskan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain bagi memperkukuh pematuhan undang-undang serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

