Belanjawan 2027: SAM gesa moratorium pusat data, tingkat peruntukan ETF lindungi hutan

Meenakshi (gambar kecil) menegaskan pemberian ETF hanya wajar disalurkan kepada negeri yang mematuhi semua pindaan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 yang dibuat pada 2022.
Meenakshi (gambar kecil) menegaskan pemberian ETF hanya wajar disalurkan kepada negeri yang mematuhi semua pindaan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 yang dibuat pada 2022.
A
A
A

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan mempertimbangkan moratorium terhadap kelulusan dan pembinaan pusat data sehingga penilaian menyeluruh terhadap kesannya kepada alam sekitar termasuk penggunaan air dan tenaga dilaksanakan.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, langkah itu penting berikutan keperluan memastikan peraturan berkaitan penilaian impak alam sekitar (EIA), konsultasi awam dan penglibatan masyarakat dalam proses membuat keputusan khususnya berhubung lokasi pusat data diwujudkan terlebih dahulu.

Menurutnya, perkara berkenaan juga perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 dengan kerajaan tidak menyediakan sebarang insentif atau sokongan fiskal kepada sektor pusat data selagi aspek alam sekitar terbabit belum ditangani secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer (ETF) bagi menggalakkan negeri melindungi dan memulihara hutan serta biodiversiti.

“Pada tahun lalu, melalui Belanjawan negara, peruntukan ETF bagi usaha perlindungan dan pemuliharaan kepada negeri meningkat daripada RM200 juta kepada RM250 juta.

“Pada tahun ini, kami mahu melihat peningkatan yang lebih ketara bagi peruntukan ETF untuk memberi insentif kepada negeri supaya mengekalkan hutan dan biodiversiti dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Bagaimanapun, Meenakshi menegaskan pemberian ETF hanya wajar disalurkan kepada negeri yang mematuhi semua pindaan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 yang dibuat pada 2022.

Menurutnya, pindaan berkenaan antara lain mewajibkan penyertaan awam sebelum sebarang kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dinyahwarta selain menetapkan kawasan HSK yang dinyahwarta perlu diganti secara serentak dengan kawasan baharu bersaiz sama atau lebih besar.

"Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang menolak untuk memasukkan pindaan penting berkenaan dan tidak seharusnya diberikan peruntukan ETF.

Artikel Berkaitan:

“Sebaliknya, negeri yang mematuhi semua pindaan APN perlu diberi ganjaran melalui peningkatan peruntukan,” katanya.

Dalam isu perubahan iklim pula, Meenakshi menggesa kerajaan meningkatkan sumber bagi usaha adaptasi dan pembinaan daya tahan iklim berikutan kesan perubahan iklim yang semakin ketara.

Katanya, peningkatan suhu, gelombang haba, kebakaran hutan, hujan lebat serta kejadian banjir memerlukan semua peringkat kerajaan memberikan perhatian lebih serius terhadap langkah adaptasi termasuk menangani kesan kehilangan dan kerosakan akibat cuaca ekstrem.

"Kerajaan lazimnya memberi tumpuan kepada peruntukan mitigasi banjir namun pendekatan yang dilaksanakan dilihat masih banyak bergantung kepada kaedah infrastruktur dan kejuruteraan seperti biasa.

“Keutamaan lebih tinggi perlu diberikan kepada pendekatan berasaskan ekosistem, termasuk mewujudkan bandar span (sponge cities), melindungi serta menambah kawasan hijau dan menanam lebih banyak pokok,” ujarnya.

Bagi menangani pelepasan karbon, Meenakshi berkata, pihaknya berharap cukai karbon terhadap sektor besi dan keluli yang dijanjikan pada tahun lalu dapat diperkenalkan menerusi Belanjawan 2027.

Pada masa sama katanya, cukai berkenaan perlu diperluaskan kepada sektor berintensiti karbon tinggi lain seperti penjana kuasa dan industri petrokimia.

"Hasil yang dikutip daripada cukai karbon terhadap sektor terbabit boleh disalurkan bagi membiayai subsidi peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui selain membantu golongan miskin dan kumpulan rentan yang terkesan dengan kos tenaga tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Meenakshi memohon kerajaan memperkenalkan langkah tambahan bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui termasuk menyediakan lebih banyak sokongan untuk menggalakkan orang ramai membeli peralatan elektrik cekap tenaga.

Sementara itu, dalam isu pencemaran plastik, pihaknya mencadangkan cukai dikenakan terhadap pengeluaran, pembuatan, penjualan, penggunaan dan pelupusan plastik sebagai langkah awal untuk mengurangkan penghasilan, penggunaan serta pelupusan bahan berkenaan.

“Larangan terhadap produk dan pembungkusan plastik sekali guna yang bermasalah dan tidak diperlukan juga perlu dikenakan serta dikuatkuasakan.

"Selain itu, kami juga mahu kerajaan meluluskan pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada organisasi alam sekitar bukan berasaskan keuntungan," katanya lagi.

Menurutnya, organisasi alam sekitar terbabit memainkan peranan penting dalam usaha berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim dengan menggunakan sumber sendiri, justeru sudah tiba masanya mereka diberikan pengecualian cukai.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!