JBPM sasar pelantikan 24,000 FSM dan FSO, perkukuh keselamatan kebakaran premis

Nor Hisham (tengah) menyerahkan sijil perakuan kepada penerima FSM bagi kumpulan pertama di Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur pada Selasa.
Nor Hisham (tengah) menyerahkan sijil perakuan kepada penerima FSM bagi kumpulan pertama di Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan pelantikan 24,000 Pengurus Keselamatan Kebakaran (FSM) dan Pegawai Keselamatan Kebakaran (FSO) menjelang tahun 2030 sebagai langkah perkukuh kawal selia serta aspek keselamatan kebakaran di premis.

Ini sekali gus menjadi kompenan penting dalam penubuhan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK).

Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, bagi pelantikan FSM, jumlahnya dijangka seramai 6,000 orang, manakala pelantikan FSO seramai 18,000 orang.

Menurutnya, JBPM melihat sasaran ini sebagai satu keperluan strategik dan setakat ini seramai 498 lantikan telah dibuat membabitkan 174 peserta FSM dan 324 peserta FSO.

"Ini merupakan sebahagian daripada keperluan untuk mematuhi Seksyen 27A Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Pindaan 2025) yang mensyaratkan bagi mana-mana premis yang dikenakan penguatkuasaan Perakuan Bomba perlu menubuhkan OKK.

"OKK itu perlu ada jumlah yang minimum untuk dilantik dan dalam kalangan itu perlu ada seorang FSM dan tiga orang FSO," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran FSM dan FSO di Menara Merdeka Maybank, di sini pada Selasa.

Tambahnya, sebagai persediaan ke arah OKK, JBPM telah melaksanakan pelbagai program libat urus bersama pihak berkepentingan.

Katanya, Malaysia mempunyai sekitar 9,451 premis yang ditetapkan dengan profil dan tahap risiko keselamatan kebakaran yang berbeza.

"Asasnya ialah bangunan yang telah kita kategorikan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, penguatkuasaan OKK secara penuh ini dijadualkan bermula 1 April 2027 sekali gus memberikan tempoh persediaan kepada pihak industri untuk membangunkan kompetensi, struktur organisasi dan tahap pematuhan yang diperlukan.

"FSM dan FSO tidak akan mengambil alih peranan JBPM, tetapi melengkapkan ekosistem keselamatan kebakaran melalui pengurusan risiko secara berterusan di peringkat premis," ujarnya.

Nor Hisham berkata, salah satu fungsi FSM ialah mengurangkan beban kepada penguatkuasaan berkaitan Perakuan Bomba.

"Kalau pada amalan semasa ini berdasarkan prosedur-prosedur semasa kita periksa setiap tahun untuk kita keluarkan Sijil Perakuan Bomba. Tetapi di masa hadapan, tempoh itu akan kita jarakkan lagi.

"Laporan pemeriksaan akan disediakan oleh FSM sebelum kita menilai dan membuat pembaharuan," ujarnya.

Nor Hisham sebelum itu menyerahkan sijil perakuan kepada kumpulan pertama FSM serta FSO yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!