Cemburu isteri mesej lelaki lain, bapa disyaki dera bayi hingga maut

JAKARTA - Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas disyaki didera bapa kandungnya sendiri di Cakung, Jakarta Timur dalam kejadian dipercayai bermotifkan cemburu terhadap isterinya.
Suspek, seorang lelaki berusia 30 tahun yang dikenali sebagai RPP, ditahan selepas polis menemui beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Kes itu terbongkar selepas Polis Cakung menerima laporan mengenai kematian seorang bayi dalam keadaan mencurigakan pada malam Khamis, 1 Oktober.
Pemeriksaan pasukan identifikasi Polis Metro Jakarta Timur menemukan kesan lebam pada wajah dan beberapa bahagian tubuh mangsa serta pendarahan.
Menurut siasatan awal polis, suspek dipercayai berang selepas mengetahui isterinya berbalas mesej dengan lelaki lain sebelum melepaskan kemarahannya terhadap anak mereka.
Ketika kejadian, ibu mangsa dilaporkan berada di tempat kerja dan bayi berkenaan berada bersama suspek di rumah.
Polis berkata, suspek pada mulanya cuba mendapatkan bantuan dengan membawa mangsa kepada seorang ahli keluarga sebelum meminta bayi itu dihantar ke hospital.
Dia dikatakan memberitahu saksi bahawa mangsa muntah-muntah.
Bagaimanapun, suspek kemudian memberikan alasan lain dengan mendakwa bayi berkenaan tertimpa kipas angin.
Keterangan yang berubah-ubah itu menimbulkan kecurigaan, terutama selepas saksi melihat banyak kesan lebam pada wajah mangsa.
Siasatan polis kemudian mendapati bayi berkenaan dipercayai mengalami penderaan sebelum meninggal dunia.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati untuk pemeriksaan lanjut.
Polis turut menjelaskan bahawa laporan awal yang menyebut suspek sebagai bapa tiri adalah tidak tepat, sebaliknya siasatan mengesahkan lelaki itu ialah bapa kandung mangsa.
Kes berkenaan masih disiasat bagi melengkapkan kronologi kejadian dan menentukan tindakan undang-undang terhadap suspek. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

