Kontroversi FZ1073: Operasi 'false flag' Israel?

Penganalisis percaya Netanyahu mungkin mengambil peluang daripada kejadian itu untuk melonjakkan semula popularitinya menjelang pilihan raya pada 27 Oktober ini. Foto: Agensi
Penganalisis percaya Netanyahu mungkin mengambil peluang daripada kejadian itu untuk melonjakkan semula popularitinya menjelang pilihan raya pada 27 Oktober ini. Foto: Agensi
A
A
A

KECEMASAN di ruang udara yang berlaku ketika penerbangan Flydubai FZ1073 pada Rabu lalu hanya mengambil masa beberapa jam untuk berubah menjadi satu isu geopolitik.

Apa yang bermula sebagai insiden di dalam kokpit kemudiannya dieksploitasi, diolah dan diperbesarkan sehingga menjadi sebahagian daripada agenda politik.

Pada awalnya, kejadian tersebut dilaporkan sebagai satu 'konfrontasi ganas' antara dua juruterbang di dalam kokpit Boeing 737 MAX 8 yang membawa 174 penumpang dari Dubai ke Tel Aviv.

Namun, dalam tempoh yang singkat, laporan mengenai kejadian itu mula tenggelam di sebalik pelbagai dakwaan yang datang daripada kepimpinan Israel dan kemudiannya mendapat liputan meluas daripada media Amerika.

Insiden tersebut mula digambarkan sebagai satu tindakan sabotaj dan keganasan.

Naratif yang dibentuk rejim Tel Aviv kemudiannya disertakan dengan pelbagai dakwaan mengenai motif, ideologi dan kemungkinan penglibatan pihak luar.

Setiap perkara seolah-olah disusun untuk menokok tambah cerita.

Tindakan tergesa-gesa menetapkan motif, ketiadaan bukti sokongan yang jelas dan kejadian yang berlaku hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya di Israel menimbulkan keraguan yang lebih besar.

Versi rasmi mengaitkan seorang pembantu juruterbang cuba untuk menjatuhkan pesawat.

Artikel Berkaitan:

Rangkaian media Barat pula menyifatkan ia sebagai 'serangan pengganas' yang berjaya digagalkan beberapa individu.

Sehingga kini, beberapa persoalan masih belum terjawab berikutan fakta yang sentiasa bercanggah. Ia menimbulkan spekulasi insiden tersebut mungkin ada kaitan dengan operasi false flag yang dirancang dengan teliti.

1. Konteks strategik

  • Ada dakwaan menyatakan lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Dubai pada 27 September lalu mungkin melibatkan perbincangan 'operasi rahsia' yang dikaitkan dengan insiden FZ1073.
  • Menurut sumber, operasi itu bertujuan mewujudkan kaitan dengan Iran bagi mendorong Amerika Syarikat (AS) kembali berkonfrontasi dengan Teheran selain memberi keuntungan politik kepada Netanyahu menjelang pilihan raya pada 27 Oktober ini.
  • Dalam keadaan persaingan politik yang sengit dan tiada blok yang jelas mempunyai majoriti, krisis keselamatan yang dikaitkan dengan Iran dilihat berpotensi memberikan kelebihan politik terhadap kedudukan Netanyahu.
  • Timbul pula dakwaan terbaharu pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah berkongsi dengan Israel senarai penumpang dan kru sebelum penerbangan Flydubai berkenaan hingga mencetuskan tanda tanya bagaimana penyerang melepasi pemeriksaan keselamatan.

2. Pembantu juruterbang Oman

  • Laporan rangkaian media mendakwa pembantu juruterbang FZ1073 merupakan warga Oman berketurunan Syria menimbulkan persoalan tentang identiti, lesen, latar belakang dan bagaimana beliau dibenarkan bertugas dalam penerbangan ke Tel Aviv.
  • Berbeza dengan Kapten Smit Machchhar yang dikenal pasti secara terbuka, identiti pembantu juruterbang masih tidak jelas dan dia hanya dikaitkan dengan ideologi ekstremis.

3. Persoalan teknikal

  • Pesawat dilaporkan menjunam lebih 4,267 meter dalam kurang seminit sebelum kembali stabil dan mendarat di Arab Saudi.
  • Terdapat juga dakwaan ia mencapai Mach 0.96 dan mengalami daya sekitar 3G, melebihi had operasi.
  • Menurut pakar penerbangan, bahagian kemudi di ekor pesawat dikatakan tercabut, namun pesawat masih mampu terbang selama lebih sejam.
  • Dakwaan bahawa seorang tukang paip Israel tanpa latihan penerbangan formal berjaya mengawal sebuah Boeing 737 MAX hampir pada kelajuan supersonik dianggap sangat sukar untuk diterima dari sudut aerodinamik.
  • Begitu juga kisah penumpang yang sama berjaya menahan penyerang bersenjata dalam keadaan pesawat sedang menjunam menimbulkan persoalan besar dari sudut fizik, keadaan daya graviti dan keupayaan manusia untuk bertindak dalam situasi sedemikian.

4. Penumpang 'kebetulan'

  • Kehadiran penumpang tertentu juga mencetuskan tanda tanya.
  • Secara kebetulan terdapat dua bekas anggota tentera Israel dalam kalangan penumpang selain dua juruterbang bantuan warga asing tanpa pengenalan yang konsisten yang kemudiannya berjaya membawa pesawat itu mendarat dengan selamat.
  • Dakwaan penumpang mampu mengawal pesawat sambil menewaskan penyerang bersenjata dalam kokpit sempit dan dipenuhi suis kawalan dianggap sukar dipercayai serta tidak terjangkau dek akal.

5. Pintu kokpit

  • Kapten yang cedera parah masih sempat membuka pintu kokpit dengan melakukan beberapa langkah rumit pada sistem elektronik ketika pergelutan.
  • Namun, keadaan fizikal kapten dan mekanisme pintu kokpit yang direka terkunci secara automatik selepas tragedi 9/11 sekali lagi mengundang persoalan.
  • Dalam keadaan itu, kod kecemasan pada papan kekunci diperlukan yang kemudiannya mencetuskan bunyi amaran sebelum pintu boleh dibuka.

6. Sengaja lencong ke Saudi?

  • Pesawat dilaporkan berada di ruang udara Jordan ketika kejadian dan jarak ke Tel Aviv lebih dekat berbanding Tabuk.
  • Sebaliknya, ia terbang kira-kira 68 minit dengan kemudi rosak dan juruterbang yang cedera parah sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Sultan Abdulaziz.
  • Pilihan Riyadh dianggap penting kerana pendirian tegas mereka yang enggan menormalkan hubungan dengan Israel sehingga isu Palestin diselesaikan.

7. Jenis senjata

  • Keterangan mengenai senjata juga berubah-ubah.
  • Beberapa penumpang mendakwa mereka melihat sesuatu yang kelihatan seperti pisau atau objek tajam.
  • Laporan Peguam Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula mendapati pembantu juruterbang menyerang kapten di dalam kokpit menggunakan kapak kecemasan sedangkan beberapa media menyebut tentang kesan luka tikaman

8. Kaitan dengan Iran

  • Dakwaan Iran mungkin terlibat dalam kejadian tersebut masih belum disokong bukti kukuh walaupun Israel ada menyebut tentangnya.
  • Netanyahu dan Presiden Donald Trump sendiri mengakui penglibatan Teheran belum dapat dipastikan.

Oleh itu, dakwaan bahawa Iran mengarahkan pembantu juruterbang untuk menjatuhkan pesawat kekal sebagai satu tuduhan yang belum sahih dan mungkin berunsur politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!