Wanita ditangkap khalwat ketika ibu, nenek sedang tidur

Penguat kuasa JAINJ melakukan serbuan di sebuah rumah di Plentong, Johor Bahru. - Foto JAINJ
Penguat kuasa JAINJ melakukan serbuan di sebuah rumah di Plentong, Johor Bahru. - Foto JAINJ
A
A
A

JOHOR BAHRU- Seorang wanita ditangkap berkhalwat bersama kekasihnya selepas rumah didiami wanita berkenaan diserbu Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di Plentong.

Serbuan kira-kira jam 3.15 pagi, Ahad itu mendapati ibu dan nenek wanita berkenaan sedang tidur di ruang tamu rumah berkembar berkenaan.

Menurut JAINJ, penguat kuasa terlebih dahulu mengawasi pintu belakang rumah bagi mengelak pasangan terbabit melarikan diri sebelum mendapati pintu rumah tidak berkunci.

"Penguat kuasa masuk dan menemui seorang wanita berusia 50-an yang baru tersedar daripada tidur di atas katil bujang di ruang tamu.

"Di bahagian bawah pula, seorang lagi wanita sedang tidur di atas tilam bujang sebelum penguat kuasa mendapati sebuah bilik di bahagian hadapan rumah dalam keadaan bertutup dan berkunci," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, penguat kuasa mengetuk pintu bilik berkenaan dan memanggil dengan kuat sebelum pintu dibuka kira-kira tiga minit kemudian oleh seorang wanita berusia 23 tahun yang memakai seluar panjang dan baju-T berlengan panjang.

Katanya, pemeriksaan kemudian menemukan seorang lelaki berusia 27 tahun berdiri di hadapan katil sambil memakai baju-T dan seluar panjang.

"Pemeriksaan lanjut mendapati katil kelamin berkenaan dalam keadaan tidak kemas dengan selimut dan cadar berselerak.

"Pasangan itu mengaku hanya berdua-duaan dan bukan suami isteri," katanya.

Artikel Berkaitan:

JAINJ berkata, pemeriksaan dalam almari turut menemukan banyak pakaian lelaki dan wanita bercampur, seolah-olah lelaki terbabit sudah tinggal di rumah itu.

"Apabila ditanya, wanita terbabit menjawab lelaki itu membantunya membasuh dan melipat pakaian kerana sibuk bekerja selain datang ke rumah untuk makan dan minum," katanya.

Siasatan mendapati lelaki terbabit adalah seorang bujang berasal dari negeri lain dan bekerja di Singapura dengan berulang-alik menggunakan motosikal setiap hari.

Wanita berkenaan pula masih belum berkahwin, berasal dari Johor Bahru dan tidak bekerja.

"Dua wanita di ruang tamu ialah ibu dan nenek wanita terbabit, masing-masing berusia 50-an dan 70-an. Neneknya juga kelihatan uzur.

"Lelaki itu mengaku sudah lebih setahun datang ke rumah berkenaan sejak berpindah ke Johor Bahru, malah dalam seminggu dia datang tiga hingga empat kali hingga lewat malam atau awal pagi," katanya.

Menurut JAINJ, lelaki terbabit mendakwa mereka merancang untuk berkahwin hujung tahun ini, namun semakan mendapati tiada permohonan kebenaran berkahwin dibuat pasangan itu di pejabat kadi.

Katanya, lelaki berkenaan turut mengaku membiayai perbelanjaan rumah termasuk sewa, manakala wanita terbabit tidak bekerja kerana menjaga neneknya dan bergantung kepadanya.

"Lelaki itu memberi alasan dia membayar sewa rumah kerana simpati dan mahu membantu wanita terbabit.

"Siasatan mendapati lelaki itu datang ke rumah selepas ibu dan nenek wanita berkenaan tidur sebelum mereka masuk ke bilik," katanya.

Pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!