Hasrat pulang ke pangkuan isteri, ibu bapa tidak kesampaian

Imran dilaporkan maut dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) ketika sedang menjalankan tugas menghantar ubat menggunakan motosikal. Foto: Agensi
Imran dilaporkan maut dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) ketika sedang menjalankan tugas menghantar ubat menggunakan motosikal. Foto: Agensi
A
A
A

DHAKA - Hasrat seorang lelaki warga Bangladesh untuk meninggalkan pekerjaan di Malaysia dan pulang ke negara asal bagi menetap bersama isteri serta ibu bapanya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya di Ayer Tawar, Perak pada Jumaat.

Mangsa, Imran Hossain Ujjal Sikder, 27, dilaporkan maut dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) ketika sedang menjalankan tugas menghantar ubat menggunakan motosikal.

Menurut laporan The Star yang memetik media Bangladesh, mangsa bersama seorang rakan sekerjanya dari Kushtia, Bangladesh, sedang dalam perjalanan menghantar ubat ke beberapa lokasi sebelum motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan.

Kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Imran berasal dari Kathiar Gatti, Faridpur, Bangladesh dan merupakan anak sulung daripada empat beradik.

Dia datang ke Malaysia pada 2017 ketika berusia 18 tahun selepas terpaksa meninggalkan persekolahan bagi membantu keluarga yang berdepan masalah kewangan.

Sepanjang berada di Malaysia, Imran bekerja bagi menyara ibu bapanya dan secara berkala menghantar wang kepada keluarga di Bangladesh.

Pada September 2024, dia pulang ke Bangladesh sebelum berkahwin dengan Lamia pada 10 Oktober tahun sama.

Bagaimanapun, Imran kembali ke Malaysia kira-kira tiga bulan kemudian untuk meneruskan pekerjaannya, sebelum merancang untuk berhenti dan pulang ke negara asal secara tetap dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut jirannya, Abdur Razzak, Imran hampir setiap hari menghubungi ibu bapa dan isterinya serta sering memberitahu hasratnya untuk pulang dan menetap bersama keluarga.

Bapa mangsa, Kalam Sikder, yang bekerja sebagai petani turut memulakan perniagaan tapak semaian dengan bantuan anaknya.

“Saya tidak dapat menggambarkan kesakitan apabila sebagai seorang bapa terpaksa membawa jasad anak di atas bahu.

“Anak saya tidak akan kembali. Saya mahu melihat wajahnya buat kali terakhir dan mengebumikannya di sebelah rumah kami,” katanya.

Berita kematian Imran sampai ke kampung halamannya pada malam kejadian menyebabkan saudara-mara dan jiran berkumpul di kediaman keluarganya.

Keluarga mangsa kini memohon bantuan kerajaan Bangladesh bagi membawa pulang jenazah Imran untuk dikebumikan di negara asal.

Pegawai Pentadbiran Upazila Saltha, Dabir Uddin berkata, pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan jasad mangsa dapat dibawa pulang secepat mungkin.

“Selain bantuan kerajaan, kami juga akan mengambil langkah untuk membantu keluarga mendapatkan pampasan daripada organisasi tempat mangsa bekerja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!