Pemandu maut tersepit, pacuan empat roda langgar pokok

KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Tuaran Bypass berhampiran sebuah kedai perabot di sini, pada tengah malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.39 tengah malam itu, mangsa berusia 44 tahun disahkan maut di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitshubishi Triton yang dipandu mangsa.
"Siasatan awal mendapati, mangsa memandu bersendirian dari arah Tebobon menuju ke pusat bandar Kota Kinabalu.
"Sebaik tiba di lokasi, pacuan empat tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok," katanya dalam kenyataan.
Shahrudin berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.31 pagi oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk dibedah siasat," katanya.
Tambah beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Noor Sherriyana Bohari berkata, operasi mengeluarkan mangsa tersepit melibatkan lima anggota.
"Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dan operasi ditamatkan pada jam 2.05 pagi selepas pemeriksaan akhir dilakukan di lokasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
