Keluarga hanya tahu Al Zubair berada di luar Kelantan selepas kemalangan maut

Al Zubair (gambar kecil) antara empat individu, termasuk seorang kanak-kanak, maut dalam kemalangan di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik. Al Zubair
Al Zubair (gambar kecil) antara empat individu, termasuk seorang kanak-kanak, maut dalam kemalangan di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik. Al Zubair
A
A
A

KOTA BHARU - Keluarga Al Zubair Deraman, 31, yang maut dalam kemalangan di Gerik, Perak semalam, terkejut apabila mendapati anak bongsu daripada 12 beradik itu berada di luar Kelantan sebelum menerima panggilan polis memaklumkan kematiannya.

Kakak sulung mangsa, Junaida Deraman, 54, berkata, sebelum panggilan berkenaan, keluarganya terlebih dahulu dimaklumkan oleh penghulu Taman Buaya, Ayuha Yusof, 63, mengenai penglibatan adiknya dalam kemalangan.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, adiknya Mohd Husaini Deraman, 37, menerima panggilan daripada polis yang mengesahkan Al Zubair telah meninggal dunia.

"Memang kami sekeluarga terkejut kerana tidak menyangka dia berada di luar Kelantan. Biasanya kalau dia hendak pergi jauh, dia akan beritahu keluarga terlebih dahulu tetapi kali ini dia tidak maklum apa-apa kepada kami.

"Kami juga hanya mengetahui selepas kejadian bahawa kereta dinaiki arwah ialah kereta sewa yang disewa di Bachok. Sebelum ini memang kami tidak tahu mengenai kereta itu atau perjalanannya,” katanya kepada pemberita di Kampung Tok Sadang di sini pada Isnin.

Junaida berkata, Al Zubair yang bekerja sebagai peniaga takoyaki di pasar malam menetap di rumah pusaka keluarga di Kampung Tok Sadang bersama-sama dua lagi adik-beradik mereka.

Katanya, kali terakhir bertemu adiknya itu adalah pada Ahad lepas dan ketika itu Al Zubair kelihatan seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang tanda akan melakukan perjalanan jauh.

"Kali terakhir saya jumpa dia Ahad lepas dan ketika itu dia seperti biasa sahaja. Dia juga tidak ada beritahu kami yang dia hendak pergi jauh dalam tempoh terdekat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Junaida menunjukkan gambar adik bongsunya, Al Zubair yang maut dalam kemalangan di Gerik, Perak petang semalam, kepada wartawan Bernama di rumahnya di Kampung Tok Sadang, Kota Bharu pada Isnin. Foto: Bernama
Junaida menunjukkan gambar adik bongsunya, Al Zubair yang maut dalam kemalangan di Gerik, Perak petang semalam, kepada wartawan Bernama di rumahnya di Kampung Tok Sadang, Kota Bharu pada Isnin. Foto: Bernama

Junaida berkata, empat adik-beradiknya iaitu Wahida Deraman, 53; Mohd Rosmida, 44; Nurul Huda, 40; dan Mohd Husaini bertolak ke Hospital Taiping bagi urusan pengecaman serta pengurusan jenazah sebelum dibawa pulang ke Kelantan.

"Setakat ini jenazah dalam perjalanan pulang ke sini dan dijangka tiba sekitar jam 4 petang sebelum disolatkan di Masjid Al-Fathul Mubin di Tok Sadang dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Pulau Panjang, Pengkalan Chepa selepas Asar,” katanya.

Semalam, empat individu, termasuk seorang kanak-kanak, maut dalam kemalangan dipercayai berpunca daripada kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan lori di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan pada jam 1.30 tengah hari itu membabitkan tiga kenderaan iaitu lori Hino, Proton Persona dan Perodua Axia.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman dalam maklum balas ringkas kepada Bernama mengesahkan tiga mangsa itu ialah Al Zubair Deraman, 31; Tuan Shazrin Tuan Mud, 40; dan Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19.

Bagaimanapun, identiti mangsa kanak-kanak perempuan itu belum dapat disahkan, manakala seorang lagi mangsa yang cedera ialah Mohammad Shiraz Hammani Abdul Fattah, 9.

Beliau turut mengesahkan kesemua mangsa beralamat di Kota Bharu, Kelantan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!