Pencerobohan tanah tidak boleh dipandang ringan - Anwar

Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat MTN Ke-83 pada Isnin.
Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat MTN Ke-83 pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR  - Amalan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan dan sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau berkata, aspek penguatkuasaan perlu terus diperkukuh, manakala sebarang isu berkaitan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), perlu ditangani dengan segera agar maklumat tepat dan telus dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan.

Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, Anwar berkata, beliau menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 hari ini.

"Tatkala kita mendepani kesan perubahan iklim, urus tadbir tanah tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada keuntungan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.

"Pengurusan tanah mesti dilaksanakan secara berhemah dan terancang bagi meminimumkan risiko terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap inisiatif pengurusan tanah dilaksanakan secara bertanggungjawab demi manfaat rakyat terbanyak. - Bernama 

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!