Isu pencerobohan tanah: 'Apa sebenarnya telah diselesaikan' - Ahmad Fadhli

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Ahmad Fadhli (kanan)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Ahmad Fadhli (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan dakwaan kerajaan Negeri Sembilan bahawa isu pencerobohan tanah kerajaan dibangkitkannya sebelum ini telah diselesaikan, sebaliknya menegaskan masih banyak persoalan berhubung siasatan kes berkenaan belum dijawab.

Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil hanya menyentuh aspek kebajikan penduduk yang tinggal di kawasan setinggan, tetapi gagal menjawab isu utama berkaitan tadbir urus, penguatkuasaan undang-undang, dakwaan campur tangan politik, permintaan wang 'settlement' dan kemungkinan salah guna kuasa.

Beliau memberitahu, pengakuan Fahmi bahawa masih terdapat baki kes yang perlu menunggu pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) membuktikan isu tersebut belum selesai sepenuhnya.

"Aduan dan arahan siasatan dibuat pada Julai 2022. Kini sudah Julai 2026. Empat tahun telah berlalu. Jika masih terdapat keputusan pentadbiran yang tertangguh, atas asas apakah Aminuddin meminta rakyat 'berterima kasih' kerana kononnya kerajaan negeri telah menyelesaikan isu tersebut?

"Apakah sebenarnya yang sudah diselesaikan dan apakah yang masih belum selesai?," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di media sosial sepucuk surat bertarikh 18 Julai 2022 yang didakwa dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Pegawai Daerah Seremban berhubung aduan bertajuk 'Pencerobohan Tanah Kerajaan Yang Semakin Berleluasa'.

Surat itu memaklumkan Pejabat Menteri Besar telah menerima aduan mengenai dakwaan pencerobohan tanah kerajaan yang didakwa berlaku di bawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP sebelum aduan itu dipanjangkan kepada Pegawai Daerah Seremban untuk perhatian dan tindakan lanjut mengikut minit arahan Menteri Besar.

Bagaimanapun, Sinar Harian melaporkan Aminuddin meminta supaya mana-mana pihak tidak sepatutnya menjadikan isu pencerobohan tanah kerajaan di beberapa kampung di Seremban sebagai modal politik, lebih-lebih lagi semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berpandangan, tindakan Aminuddin membangkitkan isu kebocoran dokumen sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada kandungan surat dan hasil siasatan yang diarahkan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya pentadbiran beliau telus, beliau hanya perlu mengesahkan ketulenan dokumen, membentangkan kronologi tindakan dan menjelaskan hasil siasatan. Tumpuan terhadap kebocoran surat tidak boleh menggantikan kewajipan menjawab kandungannya," ujarnya lagi.

Justeru, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menggesa kerajaan Negeri Sembilan memberikan jawapan bertulis terhadap tujuh persoalan yang dibangkitkan, termasuk status laporan siasatan, dapatan penuh siasatan, hasil siasatan dan sebagainya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tiada tindakan undang-undang diumumkan sekiranya pencerobohan tanah kerajaan telah disahkan, selain meminta penjelasan berhubung dakwaan yang mengaitkan beberapa ADUN DAP dan status penyelesaian baki rumah yang masih belum dimuktamadkan.

Ahmad Fadhli menegaskan isu berkenaan bukan serangan terhadap mana-mana kaum atau keluarga miskin, sebaliknya melibatkan soal amanah, integriti dan kesaksamaan dalam pelaksanaan undang-undang.

"Kerajaan yang mendakwa membawa reformasi dan ketelusan mesti bersedia menjawab soalan-soalan yang ditanya, bukan hanya memuji tindakannya sendiri," kongsinya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!