Empat maut nahas di Gerik: Perodua Axia hilang kawalan sebelum rempuh lori - Polis

GERIK - Kemalangan maut membabitkan empat individu termasuk seorang kanak-kanak dipercayai berpunca daripada kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan lori di Kilometer 38.5, Jalan Gerik-Jeli, berhampiran Tasik Banding di sini pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang itu membabitkan tiga kenderaan iaitu lori jenis Hino, Proton Persona dan Perodua Axia.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton Persona dipandu lelaki berusia 20 tahun bersama tiga penumpang lelaki berusia 19 dan 47 tahun serta seorang wanita berusia 47 tahun dalam perjalanan dari Jeli menuju Gerik.
"Pada masa sama lori dipandu lelaki berusia 42 tahun bersama kelindan lelaki berusia 34 tahun turut bergerak dari arah sama.
"Perodua Axia pula dipandu lelaki berusia 19 tahun bersama empat penumpang iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun, wanita berusia 40 tahun dan dua kanak-kanak dari arah bertentangan iaitu Gerik menuju Jeli," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu media melaporkan empat individu maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat di sini tengah hari tadi.
Sementara itu Mohd Alwi berkata, berdasarkan siasatan awal, Perodua Axia dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang Proton Persona.
"Perodua Axia kemudiannya terus hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan lori yang berada di belakang Proton Persona.
"Akibat rempuhan itu, Perodua Axia masuk ke bawah lori dan diseret sejauh kira-kira tiga hingga tujuh meter," katanya.

Beliau berkata, empat mangsa dalam Perodua Axia disahkan meninggal dunia, terdiri daripada dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak.
Katanya, seorang lagi kanak-kanak yang turut berada dalam kenderaan itu mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan.
"Pemandu serta semua penumpang Proton Persona dan pemandu serta kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pemeriksaan di lokasi kejadian telah dijalankan dan rakaman gambar turut dibuat bagi membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga kenderaan yang terlibat akan dihantar untuk pemeriksaan teknikal.
"Usaha mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera kenderaan (dashcam), sekiranya ada, sedang dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

