1,524 hektar tanah gambut terbakar, JAS laksana pemantauan dan rondaan

Azuri Azizah (kiri) beramah mesra dengan pengamal media di sini pada Isnin.
Azuri Azizah (kiri) beramah mesra dengan pengamal media di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,524.13 hektar kawasan tanah gambut di seluruh negara dilaporkan terbakar sejak Januari sehingga September tahun ini, sekali gus mendorong Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempergiatkan pemantauan dan tindakan pencegahan pembakaran terbuka.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata, jumlah kawasan terbakar itu direkodkan daripada kira-kira 2.56 juta hektar tanah gambut di seluruh negara.

"JAS memperkukuh langkah pencegahan terutama di kawasan tanah gambut yang dikenal pasti berisiko tinggi menerusi Rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) secara berterusan di seluruh negara.

“Sebanyak 5,647 rondaan OMPT dilaksanakan di seluruh negara sehingga September lalu, selain 357 penerbangan dron bagi memperkukuh pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan tindakan penguatkuasaan JAS dalam menangani isu jerebu ketika sesi libat urus bersama media di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Azuri Azizah berkata, sebanyak 3,567 kompaun dikeluarkan JAS di seluruh negara sejak Januari hingga September tahun ini di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

"Kompaun berkenaan membabitkan pelbagai pihak termasuk pemilik tanah, syarikat dan individu yang melakukan kesalahan berkaitan isu pencemaran serta pembakaran terbuka.

“Pihak industri merupakan antara kumpulan yang banyak dikenakan tindakan berikutan terdapat aktiviti pembakaran terbuka di dalam premis mereka," katanya.

Menurutnya, sehingga 30 September lalu, sebanyak 11,301 aduan berkaitan pencemaran udara diterima JAS dengan 84.3 peratus daripadanya membabitkan pembakaran terbuka.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan penguatkuasaan pula tidak dibuat semata-mata berdasarkan aduan, sebaliknya perlu disokong fakta, hasil pemeriksaan, siasatan dan bukti mencukupi.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil adalah tepat, berasas dan selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.

Azuri Azizah berkata, peranan JAS dalam menangani isu jerebu bukan sekadar memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), sebaliknya turut merangkumi pemantauan kualiti udara, pengesanan pencemaran, pencegahan pembakaran terbuka, pengurusan aduan serta pemeriksaan dan penguatkuasaan.

“Melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), pendekatan Whole-of-Government diterapkan bagi memastikan pengurusan jerebu dilaksanakan secara bersepadu mengikut peranan dan bidang kuasa agensi masing-masing.

“Dalam menangani isu jerebu, JAS melaksanakan tindakan berdasarkan fungsi dan bidang kuasa yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan,” katanya.

Dalam pada itu, Azuri Azizah berkata, aduan orang awam turut menjadi sumber maklumat penting bagi membantu JAS mengenal pasti lokasi dan aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran udara.

“Maklumat daripada orang awam amat penting kerana ia membantu JAS mengenal pasti lokasi dan aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran.

“Setiap aduan yang diterima akan dinilai dan ditindaklanjuti berdasarkan keadaan di lapangan serta bidang kuasa Jabatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!