Penggantungan MYEG: 'Yang tak bayar syarikat, yang diminta letak jawatan menteri' - Anthony Loke

Anthony Loke ketika sidang akhbar penjelasan penggantungan MYEG pada Isnin.
Anthony Loke ketika sidang akhbar penjelasan penggantungan MYEG pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] “Yang tak bayar syarikat, yang diminta diambil tindakan ialah menteri. Apa punya logik ini?”

Demikian tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika mengulas kritikan di media sosial yang mendesaknya meletakkan jawatan susulan keputusan kerajaan menggantung perkhidmatan pembayaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh pemungut hasil, MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd.

Menurutnya, keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ dibuat berdasarkan fakta berhubung tunggakan hasil kerajaan, bukannya dipengaruhi sebarang pertimbangan politik.

“Saya pun hairan. Cepat-cepat minta saya letak jawatan pula. Yang tak bayar, syarikat!” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan memaklumkan, MYEG dan Zetrix AL digantung berkuat kuasa 5 Oktober selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan obligasi (tanggungjawab) yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.

Anthony berkata, pihaknya tidak mahu mengaitkan pengurusan atau pemilikan syarikat berkenaan dengan mana-mana parti politik kerana perkara itu bukan pertimbangan kerajaan dalam mengambil tindakan.

“Mereka berkaitan dengan pihak siapa-siapa, itu tidak relevan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, perkara utama yang menjadi pertimbangan MOT dan JPJ ialah kewujudan tunggakan hasil kerajaan yang gagal dipindahkan mengikut kewajipan ditetapkan.

“Faktanya ialah ada tunggakan, okey, ada tunggakan, ada apa-apa tunggakan yang sepatutnya obligasi kepada kerajaan tidak dipenuhi dan tindakan perlu diambil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memaklumkan jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat berkenaan berjumlah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026, melibatkan kutipan hasil kerajaan yang belum dipindahkan ke akaun terimaan utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan.

Anthony berkata, kerajaan telah memberikan peluang kepada syarikat berkenaan untuk menyelesaikan tunggakan tersebut termasuk mengeluarkan 35 notis peringatan dan mengadakan empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan penggantungan terpaksa diambil selepas cek bernilai RM231 juta yang diserahkan syarikat tidak diproses oleh pihak bank atas arahan syarikat ketika dikreditkan pada 30 September lalu.

“Jadi kita tak ada pilihan. Tidak ada apa-apa alasan yang boleh diberikan oleh pihak syarikat. Ini tanggungjawab dan obligasi.

“Mereka hanya adalah ejen pemungut cukai. Ini bukan wang mereka, ini wang pembayar cukai ataupun pembayar lesen yang mereka kutip bagi pihak JPJ,” katanya.

Mengulas sama ada penggantungan itu akan berakhir dalam tempoh tertentu, Anthony berkata, perkhidmatan berkenaan hanya akan dipertimbangkan untuk dibuka semula selepas keseluruhan tunggakan dilangsaikan.

Beliau turut mengesahkan kerajaan mempunyai klausa penamatan kontrak dan tidak perlu membayar pampasan sekiranya kontrak berkenaan ditamatkan.

“Mereka berhutang kita lebih daripada RM300 juta sekarang. Jadi tak ada soal pampasan kepada mereka,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!