[VIDEO] Hukuman rotan di sekolah tidak pernah dimansuhkan - Fadhlina
KUALA LUMPUR - Hukuman rotan di sekolah tidak pernah dimansuhkan, malah masih dibenarkan mengikut peraturan sedia ada.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menjelaskan, hukuman berkenaan boleh dikenakan terhadap pelajar lelaki bagi kesalahan tertentu, namun pelaksanaannya tertakluk kepada tatacara dan kuasa yang ditetapkan.

"Hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar, pengetua atau guru yang diberikan kuasa secara nyata oleh guru besar atau pengetua.
"Ia tertakluk kepada tata cara tertentu. Hukuman tidak boleh dilakukan sesuka hati, tidak boleh dilakukan kerana marah dan tidak boleh sehingga mendatangkan kecederaan.
"Setiap hukuman perlu punya asas jelas dan direkodkan mengikut ketetapan yang berkuat kuasa," katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperincikan semua tata cara dari semasa ke semasa supaya sekolah, ibu bapa dan masyarakat memahami dengan jelas mengenai hukuman tersebut.
Selain itu menurutnya, isu disiplin turut diberi perhatian menerusi 11 langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan institusi pendidikan yang telah mula dilaksanakan secara berperingkat sejak Oktober 2025.
Antara langkah itu termasuk memperjelaskan kuasa menangani kes disiplin kepada pengetua, guru besar dan jawatankuasa disiplin, selain membolehkan kuasa berkenaan diturunkan kepada guru.
"Semua guru adalah guru disiplin dan semua tindakan disiplin adalah mengikut peraturan dan tatacara yang ditetapkan.
"Sistem Sahsiah Diri Murid telah ditambah baik kepada Sistem Salah Laku Disiplin Murid untuk memberikan fokus kepada pencegahan salah laku disiplin," ujarnya,
"Kita tidak mahu reformasi keselamatan berhenti pada mesyuarat, minit atau dokumen. Perubahannya mesti dirasakan oleh murid, guru dan ibu bapa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

