Formasi Durupinar cetus tanda tanya

ANKARA – Sekumpulan penyelidik arkeologi mendakwa menemui bukti baharu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tinggalan bahtera Nabi Nuh yang dikatakan tertimbus di timur Turkiye.
Kumpulan Noah’s Ark Scans, sebuah projek penyelidikan arkeologi yang mengkaji Formasi Durupinar (struktur geologi berbentuk kapal di wilayah Ağri) berhampiran Gunung Ararat berkongsi hasil imbasan radar penembusan tanah (GPR) terbaharu dengan NewsNation.
Menerusi klip pratonton episod akan datang program Unreported terbitan NewsNation, pengasas Noah’s Ark Scans dan penyelidik arkeologi, Andrew Jones berkata, pasukannya kini memperoleh data dari bawah permukaan tapak berkenaan buat pertama kali.
Menurut laporan NewsNation, pasukan penyelidik menggunakan sistem radar BakhtarRadar yang disifatkan Jones sebagai seperti 'imbasan CT untuk bumi' bagi meneliti struktur bawah tanah.
Teknologi berkenaan membolehkan mereka mengimbas sehingga kedalaman kira-kira 95 meter di beberapa lokasi.
Jelasnya, terdapat perdebatan mengenai sifat sebenar Formasi Durupinar termasuk teori bahawa ia mungkin hanya batuan besar, batuan dasar atau struktur geologi yang terbentuk secara semula jadi sehingga menyerupai sebuah kapal.
Bagaimanapun, penggerudian yang dilakukan pasukan penyelidik menunjukkan kawasan berkenaan tidak terdiri daripada satu bongkah batuan yang padat.
Sebaliknya, mereka mendakwa terdapat tanah di kawasan tersebut.
“Teori kami ialah ia merupakan tinggalan bahtera Nabi Nuh yang tertimbus,” ujar Jones.
Difahamkan, pasukannya telah menjalankan penyelidikan terhadap formasi berbentuk kapal tersebut sejak 2019. Tapak berkenaan mula ditemui buat pertama kali oleh Kapten Tentera Turkiye, İlhan Durupınar pada 1959.

Perlu pengesahan saintifik
Jones berkata, penyelidikan terkini turut membolehkan pasukannya meneliti struktur bawah permukaan tanpa perlu melakukan penggalian berskala besar.
Tambahnya lagi, kawasan pergunungan berkenaan mengandungi batuan, tanah dan kemungkinan ruang kosong yang boleh mempengaruhi bacaan radar.
Namun, teknologi yang digunakan membolehkan penyelidik mengenal pasti anomali iaitu ciri yang kelihatan berbeza daripada struktur geologi sekeliling.
Beliau mendakwa terdapat struktur yang kelihatan tersusun di bawah permukaan berdasarkan data radar.
Atas sebab itu, pasukan penyelidik memberi tumpuan kepada imbasan yang lebih terperinci bagi mengenal pasti lokasi tertentu tanpa merosakkan tapak melalui penggalian berskala besar.
Dalam konteks agama, kisah bahtera Nabi Nuh mempunyai kedudukan penting dalam Islam, Kristian dan Yahudi.
Dalam tradisi tersebut, Nabi Nuh dikisahkan diperintahkan Tuhan membina bahtera bagi menyelamatkan dirinya, ahli keluarganya serta haiwan daripada banjir besar yang menimpa manusia.
Kisah bahtera itu terdapat dalam Bible dan Taurat selain turut disebut dalam al-Quran.
Walaupun dakwaan mengenai Formasi Durupınar terus menarik perhatian, kenyataan pasukan Noah’s Ark Scans masih dianggap teori penyelidik dan memerlukan penelitian serta pengesahan saintifik lanjut sebelum boleh dianggap sebagai bukti muktamad mengenai lokasi sebenar tinggalan bahtera Nabi Nuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
