Lelaki kudung bersama tiga rakan ditahan berjudi
GEORGETOWN - Polis menahan empat lelaki termasuk seorang orang kurang upaya kudung kaki selepas didapati berjudi dalam sebuah bangsal di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, dekat Jelutong di sini tengah malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam, lelaki berusia lingkungan 40-an yang menggunakan kaki palsu itu bersama tiga rakannya yang lain tidak sempat melarikan diri sebaik bangsal yang didirikan di dalam kawasan semak berhampiran dengan sebuah bengkel kereta diserbu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hasil risikan yang dibuat sejak beberapa minggu lalu mengenai aktiviti perjudian yang dilakukan di kawasan itu.
Menurutnya, lokasi bangsal yang tersorok dalam kawasan semak dan diawasi puluhan ekor anjing di sekitar kawasan itu menyukarkan pasukan serbuan masuk, namun polis juga mengesan beberapa laluan tikus untuk mereka melarikan diri sekiranya diserbu.
"Pemantauan yang dilakukan sebelum ini mendapati lokasi berkenaan menjadi tumpuan kaki judi walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
"Perbuatan mereka yang ingkar PKP dengan berjudi beramai-ramai seolah-olah mencabar undang-undang dan tidak takut dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Zainol berkata, risikan juga mendapati aktiviti perjudian di lokasi berkenaan melibatkan pertaruhan wang tunai sehingga puluhan ribu ringgit dalam satu masa.
Menurutnya, dalam serbuan malam tadi pihaknya merampas daun terup, sejumlah wang tunai dan peralatan perjudian daripada empat lelaki berkenaan.
Katanya, pemeriksaan di dalam bangsal berkenaan juga menjumpai pelbagai makanan dan minuman ringan yang disediakan penganjur untuk kaki judi.
"Semua yang ditahan berusia antara 30 hingga 50 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut dan mereka akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah reman.
"Selain disiasat atas kesalahan berjudi mereka juga akan disiasat di bawah Peraturan 11, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar dengan PKP," katanya.