Pokok ditebang 'makan tuan', lelaki ditemui maut di hutan

PENAMPANG - Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat 'dilibas' pokok yang ditebangnya sendiri dalam kejadian di kawasan hutan Kampung Togudon di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap di laluan kebun di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat ahli keluarganya pada petang Rabu lalu, sebelum memasuki kawasan hutan bagi memeriksa dan menjaga pukat kelawar miliknya.
"Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui mesin pemotong kayu dan beberapa barangan peribadi berhampiran mayat mangsa.
"Berdasarkan pemerhatian awal di lokasi juga, mangsa mengalami kecederaan parah dipercayai akibat dilibas pokok yang ditebangnya di kawasan hutan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada unsur jenayah dikesan.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.
Sammy berkata, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis selain tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti ahli keluarga dan waris.
"Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 0164492215 atau hubungi IPD Penampang di talian 088-712222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
